Friday, November 5, 2010

Kemenangan besar BN di Batu Sapi, Galas pengiktirafan kepimpinan Najib; Muhyiddin


SANDAKAN: Kemenangan besar calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, di Kelantan adalah pengiktirafan rakyat terhadap kepimpinan Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kemenangan itu
juga bukan sahaja amat istimewa kepada Najib tetapi juga pengiktirafan kepada
kepimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.
"Inilah satu keputusan yang amat istimewa kepada Perdana Menteri kita. Kita
ingin mengucapkan setinggi tahniah kepada Perdana Menteri. Pastinya ini adalah
kemenangan yang cukup bermakna di atas kepimpinan beliau yang saya kira sudah diterima (rakyat).
"Gagasan 1Malaysia diterima. Segala usaha-usaha pembangunan yang telah
diperkenalkan seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi
Ekonomi (ETP), Model Baru Ekonomi, Rancangan Malaysia Kesepuluh yang telah
diambil oleh Najib.
"Saya anggap ini satu pengiktirafan terhadap segala yang telah dilakukan
oleh Perdana Menteri kita," katanya kepada pemberita selepas keputusan pilihan
raya kecil Parlimen Batu Sapi diumumkan di Dewan Masyarakat Sandakan di sini,
malam ini.

Calon BN di Batu Sapi Datin Linda Tsen Thau Lin menang dengan majoriti 6,359
undi setelah meraih 9,124 undi mengalahkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR)
Ansari Abdullah yang memperoleh 2,919 undi sementara Presiden Parti Maju Sabah
(SAPP) Datuk Yong Teck Lee mendapat 1,750 undi.
Di Galas, calon BN Abdul Aziz Yusoff menang dengan majoriti 1,190 undi
setelah mendapat 5,324 undi manakala calon PAS Dr Zulkefli Mohamad
memperoleh 4,134 undi.
Menurut Muhyiddin, kemenangan BN di Batu Sapi dan Galas juga menunjukkan
trend perubahan ketara sokongan rakyat kepada BN apabila keputusan-keputusan
peti undi menunjukkan bahawa BN bukan sahaja mendapat sokongan kuat daripada
bumiputera Islam dan bukan Islam tetapi juga sokongan ketara daripada pengundi
Cina dan lain-lain.
"Seperkara yang jelas di sini ialah rakyat di Batu Sapi saya lihat bukan
sahaja menyokong BN tetapi masih mahukan BN berperanan lebih ke depan lagi
untuk membela nasib mereka.
"Saya telah bincang dengan Ketua Menteri Menteri Sabah bahawa apa sahaja
janji telah kita buat akan kita laksanakan di bawah satu jawatankuasa yang
dipantau sendiri oleh beliau.

"Ini adalah jaminan yang telah kita persetujui dan akan dipenuhi
seratus-peratus, InsyaAllah. Inilah satu perkembangan yang sangat signifikan
selepas sahaja banyak perubahan yang dilakukan oleh pucuk pimpinan," kata
Muhyiddin.
Menurut Muhyididn keputusan pilihan raya Batu Sapi juga merupakan
justifikasi kepada penolakan rakyat terhadap pelbagai isu yang ditimbulkan
pembangkang ketika berkempen termasuk isu 'Sabah For Sabahan' dan autonomi Sabah
jelas ditolak rakyat Sabah.
"Satu perkembangan menunjukkan bahawa rakyat Sabah menerima mereka adalah
sebahagian daripada seluruh rakyat 1Malaysia ini," katanya.
Muhyiddin juga mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang menyokong BN
dan Musa dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang masing-masing merupakan
pengarah dan timbalan pengarah jentera pilihan raya BN di Batu Sapi yang begitu
gigih bekerja hingga mencapai kejayaan.
Selain itu Muhyiddin turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada
pengarah jentera pilihan raya kecil Dun Galas Tengku Razaleigh Hamzah dan
timbalannya Datuk Seri Mustapa Mohamed serta seluruh jentera BN di Galas atas
usaha gigih mereka sehingga mencapai kejayaan.
"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR) dan pihak pasukan keselamatan yang telah berusaha memastikan proses
pilihan raya berjalan dengan licin dan berjaya," katanya.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment