Konsensus Bebas menyokong penuh keputusan DYMM Sultan Selangor untuk tidak hadir ke jamuan makan tengah hari anjuran Yayasan Selangor yang didakwa menelan belanja hampir RM800,000. Baginda mengambil tindakan sedemikian sebagai tanda murka kepada pembaziran yang kian menjadi-jadi di kalangan agensi-agensi kerajaan negeri seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, Khazanah Selangor Bhd., Menteri Besar Inc. dan Yayasan Selangor.
Yayasan Selangor ditubuhkan sebagai satu badan kebajikan pelajaran untuk anak-anak Selangor. Konsensus Bebas difahamkan RM800,000
boleh membiayai 3,600 pelajar sekolah menengah untuk tempoh 5 tahun. Pembaziran ini lanjutan daripada perbelanjaan seperti pembelian kereta-kereta mewah, majlis berbuka puasa yang menelan kos RM170,000, majlis Hari Raya yang menghabiskan RM320,000 dan lain-lain lagi. Perbelanjaan besar untuk tujuan-tujuan yang tidak perlu ini dilakukan ketika atau selepas penutupan Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS) di Bagan Terap atas alasan kekurangan wang.
Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) juga didakwa terlibat dalam pembaziran dana RM9.6 juta yang digunakan oleh PKNS untuk menyewa ruang pejabat. PKNS juga didakwa, dan setakat ini tidak menafikan, berbelanja RM520,000 untuk menaja perkahwinan angkasawan negara. Yang dinyatakan di atas hanyalah beberapa contoh yang kini diketahui umum tentang perbelanjaan tak terkawal yang tidak rasional, dan pembaziran sumber kewangan di kalangan agensi-agensi kerajaan negeri Selangor dewasa ini. Yang masih tersorok dan tersembunyi mungkin akan menambahkan kemarahan rakyat negeri Selangor sekiranya dibongkar.
Jika kerajaan sebelum ini dituduh membazir kerana menaja lawatan-lawatan ke luar negara, bagaimana pula dengan pembaziran-pembaziran yang sedang berleluasa kini? Di manakah perubahan yang diwar-warkan sebelum mengambil-alih tampuk pemerintahan negeri?
Makluman oleh Menteri Besar yang juga pengerusi Yayasan Selangor bahawa beliau tidak tahu-menahu majlis makan tengah hari anjuran yayasan tersebut memakan belanja yang tinggi amatlah mengejutkan dan menghairankan. Adakah munasabah kelulusan diberi tanpa pengerusi mengetahui kosnya terlebih dahulu? Adakah budibicara sepenuhnya diberi kepada pengurusan yayasan untuk berbelanja apa sahaja tanpa kawalselia yang sewajarnya oleh pengerusi dan lain-lain pemegang amanah? Apakah kaedah pengurusan sebegini sebahagian dari ciri-ciri seorang pengerusi yang cekap dan kompeten?
Konsensus Bebas meletakkan tanggungjawab bagi ketidakcekapan dan kelemahan mengurus dan mentadbir hal ehwal kewangan negeri sepenuhnya di atas bahu Menteri Besar Selangor dan juga Penasihat Ekonomi Negeri Selangor. Justeru itu, Konsensus Bebas mendesak selantang-lantangnya agar sebuah firma audit yang profesional dan bebas dilantik untuk menjalankan kerja-kerja audit bagi SEMUA agensi-agensi kerajaan negeri Selangor. Laporan audit ini mestilah dibentang dan dibahaskan di Dewan Undangan Negeri serta dibawa ke pengetahuan masyarakat umum, khasnya rakyat negeri Selangor. |
No comments:
Post a Comment