Wednesday, November 10, 2010

Tengah - Kadar premium tanah di S’wak jauh lebih rendah dari Penang dan Selangor

BPO
Posted on November 9, 2010, Tuesday
KUCHING: Kadar premium yang dikenakan bagi pembaharuan tempoh surat hak milik tanah di negeri ini jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan Pulau Pinang dan Selangor, kata Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di sini semalam.

Berucap pada sesi penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam, beliau berkata kadar premium yang dikenakan di kedua-dua negeri terbabit (diperintah pembangkang) berlipat kali ganda mahalnya berbanding jumlah yang ditetapkan oleh Kerajaan Sarawak.
“Hasil daripada kajian yang kita lakukan di kedua-dua negeri baru-baru ini, mendapati bahawa Pulau Pinang dan Selangor tidak mengamalkan dasar pembaharuan tempoh surat hak milik tanah secara automatik seperti yang digembar-gemburkan oleh pihak pembangkang,” katanya.
Beliau memberitahu kajian terperinci telah dibuat berpandukan data nilai transaksi sebenar tanah di kedua-dua negeri terbabit, jumlah premium dibayar bagi kiraan tanah dalam tempoh 20 tahun dan diperbaharui kepada 99 tahun.
Seperti yang dijelaskan, katanya, bagi pembaharuan tempoh surat hak milik kepada 60 tahun, kerajaan negeri hanya mengenakan sejumlah RM1,000 seunit bagi rumah teres dan RM3,000 bagi rumah berkembar.
“Manakala bagi pembaharuan tempoh surat hak milik 99 tahun, bayaran premium hanya dikenakan RM1,300 seunit rumah teres, RM3,900 seunit rumah berkembar dan RM7,800 rumah sesebuah.
“Berdasarkan kajian, rumah teres mempunyai baki 20 tahun di Pulau Pinang, pemilik perlu membayar sejumlah RM12,000 seunit untuk memperbaharui surat hak milik tanah mereka kepada 99 tahun,” katanya.
Malah, di negeri itu juga pembaharuan surat hak milik bagi rumah berkembar dianggarkan berjumlah RM36,000 seunit dan RM61,000 seunit untuk rumah sesebuah.
Sementara di Selangor pula, tanah kediaman yang tempoh surat hak miliknya berbaki 20 tahun dan dibaharui 99 tahun premium dikenakan sejumlah RM25,000 seunit bagi rumah teres, RM55,000 (rumah berkembar) dan RM71,000 rumah sesebuah.
“Ini bermakna pemilik-pemilik tanah di Selangor perlu membayar 19 kali ganda bagi rumah teres, 14 kali ganda rumah berkembar dan lebih sembilan kali ganda rumah sesebuah berbanding kadar dikenakan di Sarawak,” katanya.

No comments:

Post a Comment