Thursday, November 18, 2010

UMB PBB memerangi fitnah pembangkang di Sarawak




KUCHING – Pilihanraya Umum Sarawak dijangka akan menerima impak maksima dari segi peperangan siber di antara ahli siber pro-kerajaan dan pro-pembangkang. 

Ketua Pemuda Penerangan Bahagian Unit Media Baru (UMB) UMNO, Tun Faisal Ismail Aziz berkata beliau kini bekerjasama dengan Unit Media Baru (UMB) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) untuk menampilkan strategi yang mantap bagi memasuki medan perang siber menjelang Pilihanraya Umum Sarawak. Mereka akan membawa kepakaran yang lebih agresif dalam menangani isu pihak lawan yang tidak berasas dan kebanyakannya tidak mengandungi fakta yang kukuh. 

“Pengkhususan dalam gerak kerja akan dikoordinasikan dalam penghasilan maklumat yang tepat dan jitu untuk menangani pihak lawan di peringkat negara yang berorientasikan keadaan ekonomi atau pembangunan di Sarawak. Maklumat ini akan dijelaskan dengan tulus dan sewajarnya dengan perang siber di semua peringkat akar umbi hingga ke peringkat negeri, “ kata Tun Faisal kepada pihak media setelah menghadiri Mesyuarat Bersama UMB – UMNO dan UMB BN Sarawak semalam. 

“Kita hendaklah dapat menjelaskan isu semasa dan berupaya untuk menghantar maklumat dengan pantas kepada rakyat di semua lapisan masyarakat supaya mereka tidak mudah ditipu atau dibayangi oleh perasaan khuatir semasa berdepan dengan isu-isu yang hangat. UMB juga berperanan untuk menangkis tohmahan dan tuduhan pihak pembangkang yang tidak berasas demi memenangi pilihanraya di Sarawak kelak. UMNO akan turun padang membantu PBB dan Barisan Nasional Sarawak terutama sekali dalam menengani isu-isu di Sarawak seperti isu masyarakat Penan,” tambah Tun Faisal lagi. 

Pilihanraya Umum Mac 2008 telah memberi pengajaran yang bermakna kepada parti komponen Barisan Nasional untuk berhadapan dengan perang siber dan menangkis serangan dalam kempen perang siber. 

Abdul Aziz, Ketua Penerangan Pemuda PBB, menambah bahawa antara strategi yang akan digunakan adalah untuk menjawab isu yang dilambung tanpa mengenakan serangan peribadi kepada pihak lawan. 

Kemudiannya berlangsung majlis penyerahan membantu mangsa banjir di Kedah. PBB yang diwakili oleh Timbalan Ketua Pemuda PBB Pandi Suhaili,  menyerahkan 900 pasang baju kurung dan baju Melayu yang diwakil oleh Tun Faisal untuk diserahkan kepada mangsa banjir di Kedah sebagai membantu mereka untuk mengurangkan beban setelah banjir surut. Ini juga merupakan tanggungjawab sosial demi membantu saudara-saudara yang mengalami bencana alam di Kedah.

1 comment:

  1. baik tun faisal, baik aziz ... dua amatur tak tahu apa

    ReplyDelete