Monday, November 15, 2010

13 Mei: Ikut cara Singapura - Zam

KUALA LUMPUR 11 Nov. - Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin bersetuju tarikh 13 Mei perlu diingati sebagai Hari Muhibah Negara seperti Singapura menjadikan hari rusuhan kaum terburuk di republik itu pada 21 Julai 1964 sebagai Hari Keharmonian Kaum.
Hari Keharmonian Kaum di Singapura disambut setiap 21 Julai.

Di Malaysia, katanya sebaik sahaja peristiwa 13 Mei berlaku, kerajaan mengambil langkah segera dan secara aktif mengadakan majlis-majlis muhibah yang memberi kesan besar bagi mengembalikan perhubungan baik dan rasa saling mempercayai antara kaum.
''Sangat wajar 13 Mei diperingati dalam konteks untuk mengingatkan rakyat pada setiap tahun terhadap bahaya sebarang konsep asing diperkenal dan diterima oleh rakyat negara ini.
''Kita harus membina keyakinan dan kekuatan diri, bangsa dan negara di atas formula nilai-nilai yang mengasaskan perdamaian dan kestabilan negara yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak setelah peristiwa 13 Mei itu,'' kata Zainuddin kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kolum Cuit Utusan Malaysia Rabu lalu yang mencadangkan supaya 13 Mei dijadikan satu hari peringatan sebagaimana Singapura memperingati peristiwa berdarah rusuhan kaum pada 21 Julai 1964 sebagai Hari Keharmonian Kaum.
Kolumnis Zaini Hassan membuat saranan itu setelah kerajaan DAP Pulau Pinang menggantung Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim selama enam bulan hanya kerana beliau mengeluarkan perkataan '13 Mei'.
Tun Abdul Razak, kata Zainuddin, telah mengambil inisiatif mengadakan majlis-majlis muhibah selepas 13 Mei bagi memulihkan perpaduan dan keharmonian negara.
''Oleh itu eloklah 13 Mei diperingati sebagai Hari Muhibah Negara,'' katanya yang juga dikenali sebagai Zam.
Menurut Zainuddin, peristiwa 13 Mei di Malaysia berpunca daripada konsep Malaysian Malaysia yang diwarisi daripada bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew oleh parti-parti tertentu di Malaysia setelah Singapura disingkirkan dari negara ini pada 1965.
''Ucapan Kuan Yew mengenai konsep itu dalam Parlimen Malaysia disifatkan oleh Tunku Abdul Rahman lebih menyakitkan hati daripada sakit kayapnya ketika dirawat di sebuah klinik di London menyebabkan Almarhum membuat keputusan menyingkirkan Singapura dari Malaysia,'' katanya.
Menurut Zainuddin, Tunku menulis dalam The Star pada 7 April 1975 bahawa ucapan Kuan Yew menyentuh kedudukan kuasa Melayu dan raja-raja Melayu walaupun pada masa itu kerajaan Perikatan bukanlah kuasa Melayu tetapi kerajaan yang mewakili semua kaum.
Tunku juga, katanya, marah terhadap ucapan Kuan Yew pada 1 Jun 1965 di Delta Community Center Singapore yang mengugut sekiranya cara yang tidak berperlembagaan digunakan untuk menyekat Malaysian Malaysia maka Singapura, Sabah, Melaka dan Pulau Pinang hendaklah bersatu untuk mencari pilihan (alternative arrangements) bagi memaksa Malaysian Malaysia digunakan.
''Ini kerana kata Kuan Yew apabila menyertai Malaysia, Singapura tidak pernah bersetuju menerima kuasa Melayu,'' katanya.
Maka itu, kata Zainuddin, tidak hairanlah mereka yang terlibat dalam mempromosikan konsep Malaysian Malaysia yang menjadi punca timbulnya prasangka buruk antara kaum sehingga menyebabkan sesuatu kaum menjadi fobia dengan tarikh 13 Mei.

utusan malaysia

1 comment: