Tuesday, November 2, 2010

Pengurusan Kewangan Sarawak Diiktiraf


KUCHING, 1 Nov (Bernama) — Ketua Audit Negara memberikan perakuan yang baik kepada Akaun Awam Negeri Sarawak 2009, tahun kelapan negeri itu menerima perakuan seumpamanya, kata Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini.

Taib, yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata Kerajaan Sarawak akan terus berusaha mengekalkan perakuan yang baik pengurusan kewangan bagi tahun-tahun
akan datang dengan memastikan semua pegawai pengawal, termasuk ketua-ketua kementerian, jabatan dan agensi menyemak kelemahan-kelemahan yang dibangkitkan dalam laporan Ketua Audit Negara dan mengambil langkah pembaikan.
“Saya mahu membawa perkara ini untuk perhatian media memberikan laporan yang seimbang pandangan Ketua Audit Negara berhubung kedudukan kewangan negeri agar tidak disalah tafsir oleh orang ramai,” katanya semasa membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan (2011), yang kemudiannya diluluskan persidangan Dewan
Undangan Negeri Sarawak di sini.
Ketua Menteri Sarawak itu berkata akaun awam bukan hanya tertakluk kepada audit dan semakan Ketua Audit Negara tetapi kedudukan kewangannya turut dipantau agensi penarafan secara berkala dan berdisiplin, selaras dengan standard tinggi kewangan dan perakaunan antarabangsa yang digunakan.
Semua badan-badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan di Sarawak juga dikehendaki untuk mematuhinya, kata beliau.
Taib berkata kesemua strategi dan mekanisme kawalan yang ada merupakan sebahagian daripada strategi proaktif pengurusan kewangan negeri yang bertujuan mengekalkan kemakmuran dan kestabilan politik. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment