Tuesday, November 30, 2010

Tengah : Ibu bapa anak-anak Penan pelu berkorban demi masa depan


Tengah menari bersama-sama komuniti Penan di Ba Medamot, Lawas.
Oleh Hazel Lee
LAWAS — Kaum Penan yang masih tinggal jauh di pedalaman perlu berkorban meninggalkan anak-anak di sekolah, bukannya berterusan membawa mereka ke hutan jika mahu maju dalam pelajaran.

Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata, sikap tidak mahu berpisah walaupun semasa waktu sekolah ini perlu dikikis demi masa depan anak-anak mereka.
“Ibu bapa tidak seharusnya berasa bimbang meninggalkan anak-anak mereka di sekolah kerana kemudahan disediakan termasuk makanan dan asrama,” katanya semasa merasmikan rumah Penan, kemudahan asas dan bekalan air paip graviti di Kampung Ba’ Medamot, Ulu Kubaan, berhampiran Bario hari ini.
Daripada kira-kira 3,000 anak Penan yang melanjutkan pelajaran di sekolah menengah dan rendah di seluruh negeri dan setakat ini hanya 26 orang berjaya sampai ke pusat pengajian tinggi, kebanyakkan menetap di Suai dan Sebiew, Bintulu.
Dalam hal ini, Tengah mahu komuniti Penan yang jauh tinggal di kawasan terpencil seperti Bario, Limbang dan Lawas mengubah sikap itu dan mencontohi Penan di Suai dan Bintulu yang lebih bersikap terbuka untuk maju.
“Sudah sampai masanya ibu bapa Penan berkorban dengan meninggalkan anak-anak mereka di sekolah. Contohilah masyarakat Penan di Suai dan Bintulu yang sanggup berpisah dengan anak-anak mereka demi pendidikan,” katanya.
Sementara itu, projek komuniti Penan di Ba’ Medamot membuktikan komitmen kerajaan dalam memperbaiki taraf hidup komuniti Penan khususnya di kawasan terpencil.
Menurut Tengah, projek yang bernilai RM750,000 ini merupakan satu aktiviti komuniti di bawah projek ITTO Taman Negara Pulong Tau (TNPT) yang dilaksanakan pada Julai tahun ini dan siap dalam tempoh lima bulan.
Projek rumah baru ini dilengkapi dengan  bekalan air paip dan kemudahan asas yang dibina oleh Jabatan Hutan Sarawak, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Pertubuhan Kayu Balak Tropikal Antarabangsa (ITTO) dan Samling Strategic Corporation Sdn Bhd.
Selain projek rumah, aktiviti yang dijalankan sebelum ini termasuk bekalan air dan kemudahan asas kepada komuniti Penan di sekitar TNPT seperti Long Sabai, Long Lobang, Pa Tik, sebuah jambatan gantung merentasi Sungai Kubaan dan latihan penanaman pokok buah-buahan dan sayur-sayuran.

No comments:

Post a Comment