Monday, November 29, 2010

PRS berharap pilihan raya umum, negeri diadakan serentak


BPOPosted on November 27, 2010, Saturday
KUCHING: Parti Rakyat Sarawak (PRS) berharap kedua-dua pilihan raya umum dan negeri dapat diadakan serentak.
Presidennya Dato Sri Dr James Masing berpendapat adalah lebih baik jika pilihan raya umum diadakan lebih awal sebelum tamat penggal, dengan itu ia boleh dilakukan serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak.
“Kami (PRS) menyokong sepenuhnya idea mengadakan kedua-dua pilihan raya ini serentak (pilihan raya umum dan pilihan raya negeri) kerana pertama ia sudah tentu akan mengurangkan kos semasa hari mengundi.
“Jentera yang sama akan digunakan, jadi ini akan membantu mengurangkan kos pilihan raya dengan banyak sekali dan pada masa sama menjimatkan wang rakyat,” katanya ketika dihubungi semalam.

Masing yang juga Menteri Kemajuan Tanah berkata demikian apabila ditanya pendirian parti itu sama ada menyokong atau sebaliknya idea mengadakan pilihan raya umum dan negeri serentak.
Penggal sekarang bagi ahli-ahli parlimen hanya akan berakhir awal 2013 manakala pilihan raya negeri Sarawak perlu dilakukan sebelum Julai tahun depan.
Bagaimanapun, wujud spekulasi menyatakan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin mengadakan pilihan raya umum lebih awal bagi membolehkan kerajaan Barisan Nasional (BN) mendapat mandat lebih besar di peringkat persekutuan ekoran meningkatnya sokongan kepada kerajaan BN.
Pada pilihan raya umum 2008, BN mengekalkan pemerintahan dengan majoriti tipis selepas tewas di banyak kerusi di Semenanjung Malaysia bagaimanapun BN Sarawak hanya kalah di Bandar Kuching di tangan Parti Tindakan Demokratik (DAP).
“Saya percaya Perdana Menteri juga melihat begitu (membuat pilihan raya serentak) kerana untuk melaksanakan projek-projek serta program yang beliau rancang memerlukan mandat kuat daripada rakyat dan kita percaya ini adalah peluang terbaik.
“Inilah masa untuk BN memenangi semula sokongan daripada rakyat yang benar-benar sudah bosan dengan krisis demi krisis dalam kem pembangkang,” katanya.
Selain itu katanya pilihan raya serentak juga akan menyaksikan pemimpin-pemimpin pembangkang yang liar dan ahli-ahlinya dari Semenanjung Malaysia datang ke Sarawak untuk berkempen.
“Kami telah melihat beberapa contoh taktik berkempen parti pembangkang dari Semenanjung Malaysia dan budaya negatif ini seharusnya tidak dibenarkan menjejaskan keamanan serta perpaduan rakyat Sarawak,” ujarnya.
Masing menambah setakat ini BN Sarawak masih mampu mengekalkan rekod cemerlang yang konsisten dalam pilihan raya.
“Saya boleh katakan, kita di Sarawak masih boleh mengekalkan kerusi BN walaupun jika pilihan raya diadakan serentak. Saya percaya kita boleh melakukannya,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata sama ada pilihan raya umum dan negeri akan diadakan pada masa yang sama ia terpulang kepada Perdana Menteri sebagai pengerusi BN Pusat untuk membuat keputusan.
“Saya yakin beliau (Najib) tahu yang terbaik dan saya percaya beliau sedang merancang sesuatu sekarang, termasuk mendapatkan maklum balas daripada pemimpin-pemimpin negeri,” tambah Masing.

1 comment:

  1. 1. Salam perjuangan dari pengendali blog "mulutmelayu-REALITI" (PULAU PINANG) dalam menyampaikan maklumat-maklumat yang benar dan tepat kepada pembaca-pembaca blog.

    2. Blog tuan telahpun di'link'kan di ruangan RAKAN MM-R : SABAH & sARAWAK blog mulutmelayu-realiti.blogspot.com untuk sebaran dan bacaan kepada pelawat-pelawat blog.

    3. Diharap tuan sudi bertukar 'link' dengan blog mulutmelayu-realiti dengan menyenaraikannya di blog tuan.

    ReplyDelete