Sunday, November 7, 2010

Blackout sering di Miri


Oleh Hazel Lee
MIRI — Pengguna di sekitar Morsjaya, Riam dan Taman Tunku mendesak Perbadanan Pembekalan Letrik Sarawak (SESCO) memperbaiki mutu perkhidmatan untuk menggelakkan gangguan bekalan elektrik yang kerap berlaku.

Seorang pengadu dari Morsjaya, Johnny Tiong berkata, bekalan elektrik yang kerap terputus di kawasan Morsjaya bukan sahaja menjejaskan perkhidmatan stesen minyak yang disediakan malah mendatangkan kerugian beribu-ribu ringgit.
Beliau yang merupakan pengurus Lambir Petrol Service di Morsjaya berkata, pihak Sesco perlu kerap memeriksa stesen pencawang bagi memastikan masalah itu tidak berlaku pada masa hadapan.
Menurut Johnny, malam tadi bekalan elektrik terputus sebanyak tiga kali antara 6.50 petang hingga 7.50 petang, 9.10 malam hingga 9.50 malam dan 10.20 malam hingga 11 malam.
“Tempoh bekalan elektrik yang terputus malam semalam mengambil masa yang lama dan kerap. Ini menyebabkan kami menanggung kira-kira RM5,000 kerugiaan dalam tempoh satu malam.”
“Masalah putus bekalan elektrik ini bukan sahaja memberi kerugian kepada kami tetapi menjejaskan keselesaan kepada pelanggan dan pengguna di kawasan terbabit,” katanya hari ini.
Selain Morsjaya, turut bergelap ialah kawasan Taman Tunku, Taman Futee, Taman Jelita sehingga ke kawasan Lapangan Terbang Miri
“Kami tidak mampu menanggung kerugian ini lagi dan lagi. Tambahan pula, ia amat menyukarkan pelanggan terutama yang sedang mengisi minyak kenderaan,” katanya.
Tegas Johnny, terputus bekalan elektrik memberi kesan terhadap perniagaan mereka, kerana setiap kali masalah itu berlaku tiada pelanggan dan mereka terpaksa memasang semula sistem.
Apa yang menghairankan katanya, masalah putus bekalan elektrik terlalu kerap berlaku iaitu hampir setiap bulan sehingga penduduk di kawasan itu sudah lali.
“Pernah pada tahun lepas, masalah putus bekalan elektrik berlaku sebanyak 10 kali dalam sebulan. Kita berharap Sesco dapat melakukan sesuatu untuk menggelakan ‘tragedi’ ini,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Sesco Wilayah Miri, Polycarp Wong ketika dihubungi memberi jaminan akan memperbaiki perkhidmatan bekalan elektrik bagi memastikan masalah itu tidak berulang.
Mengulas gangguan malam semalam, Polycarp berkata ia disebabkan masalah teknikal di dua stesen pencawang di simpang Lapangan Terbang Miri.
“Masalah gangguan bekalan elektrik di kawasan sepanjang Lapangan Terbang Miri, Morsjaya dan Riam disebabkan masalah teknikal dan bukannya berpunca daripada hari hujan.”
“Kedua-dua stesen pencawang itu masing-masing menyalurkan tenaga bersaiz 20 MVA pada masa yang sama menyebabkan bekalan elektrik terputus.”
“Malam tadi kami berusaha sedaya upaya membaiki masalah teknikal sebelum gangguan bekalan elektrik kembali pulih pada jam 11 malam. Pihak Sesco merasa kesal dan memohon maaf kepada semua pengguna di atas kesulitan yang dialami,” katanya.

No comments:

Post a Comment