Saturday, October 16, 2010

SPDP sudah bahagia, Mawan


Oleh Hazel Lee
MIRI — Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) menganggap pertelingkahan yang berlaku dalam parti membabitkan kumpulan lima ahli (5 SPDP) sudah ‘basi’ dan tidak mahu ia digembar-gemburkan lagi.
Presidennya, Datuk Seri William Mawan Ikom berkata, keutamaan parti sekarang adalah untuk memenangi kesemua lapan kerusi yang bakal dipertandingkan pada pilihan raya negeri akan datang.
“Kita mahu isu berhubung kumpulan lima atau tiga atau 10 ini dihentikan. Kemenangan Barisan Nasional adalah keutamaan kita sekarang, manakala kepentingan dalam parti kita tolak ke tepi.”

“Saya tak larat lagi melayan isu-isu mereka yang berkumpulan terutama yang membabitkan isu-isu peribadi. Sehubungan itu, saya nasihatkan golongan tersebut agar berhenti ‘menyalak gunung’ kerana ia tidak akan ke mana,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian geran di Pejabat Residen Miri hari ini.
Lapan kerusi SPDP ialah Tasik Biru (Datuk Peter Nansian), Pakan (Datuk Sri William Mawan), Meluan (Datuk Peter Nyarok), Marudi (Sylvester Entri Muran), Ba Kelalan (Nelson Balang Rining), Batu Danau (Paulus Palu Gumbang, Saratok (Wong Judat) dan Bekenu (Rosey Yunus).
Mengulas lanjut, jentera parti kini sudah bersedia untuk berhadapan dengan pembangkang pada pilihan raya negeri akan datang.
Ditanya mengenai kerusi yang ‘tidak selamat’, Mawan berkata SPDP tidak memberi perhatian khusus kepada kerusi tertentu.
“Dalam hal ini kita lebih suka bersikap terbuka. Saya tidak kisah jika SPDP bertukar-tukar kerusi dengan parti komponen BN yang lain. Jika parti tersebut dapat memberi kemenangan semasa pilihan raya negeri, jadi apa salahnya?” katanya.

No comments:

Post a Comment