Thursday, October 28, 2010

Kerajaan Sarawak terima kritikan


MUKAH (Sarawak), 26 Okt (Bernama) — Kerajaan negeri Sarawak sentiasa terbuka kepada nasihat, malah kritikan daripada sesiapa jua, selagi mana ia bersifat tulus dan membina, kata Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Beliau berkata ada sesetengah kumpulan atau individu sebaliknya mengkritik semata-mata kerana hendak mencari kesalahan sahaja.
Bercakap dalam satu seminar pembangunan pemimpin masyarakat di sini hari ini, beliau memberi contoh tindakan sesetengah pihak yang sengaja menyalahkan kerajaan terhadap masalah banjir di Sibu, atau paras air sungai yang merosot di Belaga.
“Tapi ini semua sebenarnya berpunca daripada faktor alam semula jadi, kerajaan tidak boleh mengawal hujan,” katanya.
Menurutnya dalam pelaksanaan rancangan-rancangan pembangunan, kerajaan juga akan menyambut baik input dari pelbagai pihak sekiranya ia didapati wajar untuk berbuat demikian.
“Bagaimanapun masalahnya ada pula kumpulan yang menolak rancangan-rancangan kerajaan ini tanpa benar-benar berusaha memahami rasional, objektif dan manfaat pelaksanaannya,” katanya.
“Keadaan menjadi bertambah buruk apabila mereka ini kemudiannya menghasut orang lain untuk menyertai mereka,” tambahnya.
Taib berkata bagi maksud ini pemimpin-pemimpin masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing dalam memimpin serta membimbing orang ramai, dan untuk berbuat demikian, mereka perlu faham sepenuhnya dasar serta rancangan pembangunan kerajaan.
Beliau berkata mereka perlu berupaya menggembleng sokongan orang ramai kearah mengukuhkan perpaduan dan kerjasama yang boleh membantu dalam melancarkan segala rancangan pembangunan.
Berhubung projek-projek pembangunan, Taib berkata ia akan dilaksanakan berdasarkan kepada keutamaan dan keperluan masyarakat tempatan, selain keupayaan pelaksanaannya.– BERNAMA

No comments:

Post a Comment