Sunday, October 10, 2010

Kerajaan tidak rampas tanah rakyat, Taib


MUKAH, 8 Okt (Bernama) — Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini mengulangi bahawa kerajaan tidak akan mengambil alih tanah persendirian untuk dibangunkan sebagai projek pembangunan yang penting tanpa membayar ganti rugi dengan seadilnya.

Bagaimanapun, beliau berkata pihak tertentu akan sentiasa cuba menghasut pemilik berhubung hasrat murni kerajaan itu demi memenuhi agenda politik mereka sendiri.
Taib berkata rakyat tidak seharusnya dipesongkan dengan mudah tanpa mengetahui niat sebenar di sebalik pengambilalihan itu.
Bercakap pada majlis “Sejiwa Senada” di sini hari ini, beliau berkata sekiranya kerajaan gagal melaksanakan projek yang dicadangkan itu, rakyat sendiri yang akan rugi.
Beliau berkata perkara ini pernah berlaku sebelum ini di Long Lama dalam daerah Marudi dengan rancangan untuk membangunkan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) untuk tanaman kelapa sawit secara komersial secara usahasama dengan bantuan pelabur terpilih.
“Apabila pemilik menentang keras rancangan kami, kami mengalihkan pelaksanaan rancangan itu ke Kanowit dan kini pemiliknya yang memperoleh manfaat,” katanya.
Taib berkata amat penting bagi pemimpin mengetahui terlebih dahulu mengenai apa jua dasar pembangunan dan perancangan kerajaan.
“Mereka kemudiannya boleh memberi penjelasan kepada penduduk di kawasan mereka. Apabila penduduk memperoleh pengetahuan sewajarnya, sudah tentu mereka akan menerima dan memberi kerjasama penuh,” katanya.
Beliau berkata mereka seharusnya menghubungi pegawai atau wakil kerajaan yang berkaitan sekiranya mempunyai sebarang keraguan.
Mengenai program “Sejiwa Senada”, beliau berkata program itu bertujuan menggalakkan kerjasama akrab dan persefahaman antara kerajaan dan rakyat dengan memberi mereka pengetahuan tentang pelbagai dasar serta program kerajaan.
Menyentuh tentang aspirasi kerajaan ke arah masyarakat pendapatan tinggi menjelang 2020, Taib berkata perkara ini boleh dicapai jika sekurang-kurangnya 30 peratus daripada kalangan pelajar dapat mengikuti pendidikan peringkat tinggi pada ketika itu.
Katanya pada masa ini terdapat enam universiti dan kampus universiti di negeri ini. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment