Monday, October 18, 2010

Pandi Suhaili - Bajet 2011 dijangka kekalkan sokongan rakyat

Posted on October 17, 2010, Sunday
BINTULU: Majoriti rakyat dijangka terus menyokong Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri akan datang berikutan Bajet 2011 yang prihatin rakyat dan memberi keutamaan terhadap pembangunan luar bandar.
Keupayaan kepimpinan kerajaan persekutuan menurut Naib Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Pandi Suhaili dalam memerintah negara akan membantu kerajaan negeri melaksanakan pembangunan di Sarawak.
“Kita percaya bajet berpandangan jauh dalam merencanakan pembangunan negara yang dibentangkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) akan dinilai rakyat Sarawak secara positif dan diterjemahkan dalam bentuk sokongan pada pilihan raya negeri nanti,” katanya kepada Utusan Borneo, semalam.
Bagaimanapun, beliau percaya bajet tersebut bukan sekadar ingin meraih sokongan rakyat — sama ada pada pilihan raya negeri atau pilihan raya umum seperti diuar-uarkan beberapa pihak.
“Kita perlu melihat bajet yang lepas, semua bercirikan sikap prihatin dan keikhlasan kerajaan dalam membangunkan negara tanpa mengabaikan aspek kebajikan masyarakat berada dalam golongan bawahan,” katanya.
Pandi yang juga ketua Pemuda PBB Jepak berkata, kawasan luar bandar merupakan tumpuan khusus kerajaan sejak dahulu lagi.
Katanya, tumpuan tersebut adalah untuk memastikan wujud keseimbangan pembangunan antara bandar dan luar bandar.
Kerajaan menyediakan RM6.9 bilion untuk pelaksanaan kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak.
“Wawasan para pemimpin BN dalam membangunkan negara sebagai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi akan difahami rakyat di Sarawak,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru ahli-ahli Pemuda PBB agar merebut peluang menerusi peruntukan RM93 juta khusus untuk Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).
“Projek-projek seperti pembinaan lapangan terbang, telekomunikasi dan jalan raya akan menambah kerancakan ekonomi. Pemuda di wilayah tengah wajar memanfaatkan peluang ini,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Dr Neilson Ilan Mersat menterjemahkan RM93 bilion untuk SCORE sebagai peruntukan pembangunan di luar bandar.
Neilson, juga pensyarah pengajian politik yang diminta mengulas mengenai kemungkinan bajet tersebut dirangka untuk meraih populariti BN di kalangan rakyat menjelang pilihan raya akan datang berkata: “Jumlah (peruntukan) untuk luar bandar perlu ditambah agar lebih banyak projek pembinaan kemudahan asas dapat dilaksanakan.”

No comments:

Post a Comment