Wednesday, May 11, 2011

Wan Junaidi - Kejayaan BN bukti perpaduan ahli parti


Kekuatan jentera parti juga bukti rakyat di Demak Laut tetap berdiri teguh di belakang k’jaan BN

RAI KEJAYAAN: Wan Junaidi (empat kiri) bersama Dr Hazland (tengah), Dr Abang Rauf (empat kanan) dan tetamu yang lain memotong ‘pulut kuning’ pada majlis meraikan kemenangan BN di Kuching, malam Ahad lalu. 


by Wan Ali Amit. Posted on May 10, 2011, Tuesday
KUCHING: Kejayaan cemerlang PBB Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni dalam pilihan raya negeri lalu membuktikan jentera parti di kawasan terbabit tampak kukuh perpaduannya.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kekuatan jentera parti itu juga membuktikan bahawa rakyat di kawasan Demak Laut tetap berdiri teguh di belakang kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Saya amat berbangga dan berasa gembira kerana penduduk di kawasan Demak Laut telah memberikan kemenangan besar kepada Dr Hazland pada pilihan raya negeri lalu,” katanya berucap pada majlis meraikan kemenangan calon BN Demak Laut pada pilihan raya baru-baru ini di sini malam Ahad lalu.
Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata kejayaan cemerlang PBB Demak Laut serta Pantai Damai dan Tanjung Datu juga membuktikan bahawa kerjasama semua pihak kepada calon-calon BN terbabit.
Beliau berkata kejayaan semua calon PBB bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Santubong memberi keyakinan tinggi kepada beliau untuk meneruskan kesinambungan pembangunan di kawasan-kawasan itu.
“Saya percaya dengan sokongan padu rakyat di tiga kawasan DUN itu akan membolehkan saya dan wakil-wakil rakyat terbabit meneruskan pembangunan kepada penduduk-penduduk di kawasan kita,” katanya.
Hadir sama bekas ADUN Demak Laut Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen, Setiausaha Politik Ketua Menteri Bujang Helmi Hazmi dan Awangku Jamuddin Awang Kon, Ketua Pemuda PBB Demak Laut Wan Hamzah Wan Paie dan Ketua Wanita PBB Demak Laut Rokiah Temben.
Terdahulu, Dr Hazland dalam ucapannya merakamkan terima kasih kepada semua pengundi di kawasan Demak Laut kerana telah memberi sokongan dan kepercayaan kepada beliau sebagai wakil rakyat mereka.
Katanya, mandat yang diberikan oleh rakyat di kawasan itu pastinya akan beliau buktikan justeru akan berusaha dan bekerjasama padu untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasan terbabit.
“Saya berharap segala masalah rakyat dapat dibincangkan dan diselesaikan bersama.
“Malah, saya percaya pusat khidmat wakil rakyat yang terletak di Pusat Komersial Demak Laut di sini dapat dijadikan sebagai medan pertemuan dengan rakyat,” katanya.

No comments:

Post a Comment