Saturday, May 28, 2011

Tidak salah PR mahu berangan-angan - Ahmad Lai Bujang

 
Posted on May 27, 2011, Friday
MIRI: Tidak salah bagi Pakatan Rakyat (PR) untuk memasang angan-angan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti memandangkan negara ini berprinsip demokrasi.
Walau bagaimanapun, Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang berkata bagaimanapun penentuannya terletak di tangan dan kebijakan rakyat jelata untuk menilai mereka (pembangkang).
“Tiada halangan untuk mana-mana parti berdaftar dan layak bertanding bagi mengikuti pilihan raya nanti,” kata Ahmad Lai ketika dihubungi Utusan Borneo petang semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasrat PR Sarawak yang berhasrat untuk menawan sekurang-kurangnya masing-masing 10 kerusi parlimen di Sarawak serta Sabah dalam PRU Ke-13 dan antaranya adalah di Miri, Baram dan Sibuti.
“Saya percaya kepada penilaian bijak rakyat di kawasan-kawasan yang dikatakan menjadi sasaran mereka (PR), apa yang saya ingatkan kepada mereka (PR), Barisan Nasional (BN) tetap kukuh,” jelasnya lagi.
Merujuk kepada negeri-negeri di mana pembangkang berjaya menubuhkan kerajaan, Ahmad Lai memberikan contoh bahawa mereka (PR) sebenarnya bukanlah dalam keadaan yang terlalu sempurna.
“Anda boleh lihat di dada akhbar dan di televisyen, pakatan pembangkang (PR) ini sebenarnya dalam keadaan tidak terurus.
“Mereka hanya pandai mengkritik kerajaan (BN) sahaja tetapi diri sendiri sebenarnya tidak betul,” katanya lagi.
Menurutnya, perbezaan antara kerajaan BN dan kerajaan PR adalah terlalu ketara lebih-lebih lagi dari aspek pelaksanaan.
“Pakatan (PR) hanya pandai menabur janji tetapi tidak ditepati, tetapi kerajaan (BN) akan laksanakan kerana kita lihat sekarang ada projek-projek (pembangunan) yang sudah, sedang dan akan dibuat, semuanya ada kesinambungan,” ujar beliau lagi.
Beliau sendiri yang menjadi wakil rakyat di Parlimen Sibuti mengatakan aspirasi serta kehendak rakyat di kawasan berkenaan adalah menjadi keutamaannya.
“Keperluan rakyat tetap diutamakan kerana itu adalah contoh dan teladan untuk semua wakil rakyat (BN) daripada Ketua Menteri (Pehin Sri Abdul Taib Mahmud) dan juga Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak),” katanya.

No comments:

Post a Comment