Friday, May 6, 2011

Amankah dunia jika kuasa besar bersikap 'pengganas'?


SAMA ada Osama bin Laden masih hidup atau telah dibunuh itu bukan topik untuk diperdebatkan. Yang penting, sama ada keganasan akan berterusan setelah kononnya ikon keganasan terbunuh? Itu satu persoalan yang semua manusia sejagat perlu mencari jawapan.
Adakah Amerika, NATO dan sebagainya tidak ganas dengan mengebom dan memusnah serta membunuh orang awam dalam kononnya mencari pengganas? Bagi saya, perbuatan itu adalah terlalu ganas berbanding pengganas yang dicari.
Mengikut hukum-hakam makhluk hidup di dunia ini, adalah menjadi tabiat semua makhluk termasuk manusia mahupun binatang akan merasa tertekan sekiranya hak mereka diceroboh serta dirampas sama ada secara paksa, halus atau perundangan yang berat sebelah. Maka wujudlah kumpulan yang melindungi hak serta harta mereka untuk anak cucu, bangsa dan agama mereka.
Dengan wujudnya kumpulan ini, maka pihak luar terutama Barat melabelkan mereka sebagai 'pengganas' kerana ketika itu sudah tentu ada sebilangan kumpulan lain yang menentang dan mendapat sokongan pihak luar yang mahu menjadi hero dunia.
Hero dunia ini akan membuat undang-undang khas untuk dikuatkuasakan di luar negara mereka dan menguar-uarkan bahawa setiap tindakan mereka di luar negara mengikut 'undang-undang antarabangsa'. Maka dihalalkan semua tindakan pengeboman (keganasan) walaupun melibatkan orang awam dan kemudahan asas penduduk di situ.
Persoalannya, jika Amerika boleh membuat undang-undang sendiri dengan mendapat restu PBB dan NATO, kenapa pihak yang ditindas ini tidak boleh membuat undang-undang sendiri untuk menghalalkan pencerobohan luar?
Sepatutnya PBB atau NATO serta pakatan yang boleh membawa perdamaian ini membantu menggubal undang-undang yang boleh melindungi kumpulan yang pada hakikatnya adalah manusia atau kumpulan biasa mempertahankan hak asasi mereka.
Masalahnya, pihak dunia khasnya Amerika dan pakatan antarabangsa tidak dapat melihat perspektif ini kerana mereka tidak pernah diceroboh atau dirampas hak mereka oleh negara atau kumpulan lain secara ganas. Dengan itu, mereka tidak merasai tekanan kehilangan hak tetapi merasai tekanan dari segi mencari populariti kedudukan individu, pengaruh agama dan bangsa mereka di mata dunia.
Kesimpulannya, keganasan tetap akan berlaku sehingga wujudnya undang-undang yang melindungi semua pihak, termasuk kononnya mereka ini 'pengganas'. Kematian Osama bin Laden tidak semestinya melumpuhkan semangat perjuangan mereka, malah dikhuatiri boleh menyemarakkan semangat keganasan itu lebih luas dan menggugat orang awam di seluruh dunia.

No comments:

Post a Comment