KUCHING: Wakil rakyat yang baru diharapkan bersiap sedia untuk persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang kerana mereka akan diperhatikan oleh orang ramai, terutamanya kerana ia adalah persidangan pertama selepas pilihan raya negeri yang lalu.
Penasihat Khas di Pejabat Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem berkata, wakil rakyat baru perlu berpengetahuan mengenai pentadbiran, perkara dan polisi kerajaan agar mereka lebih efektif.
“Wakil rakyat baru terutamanya akan diberikan taklimat oleh pelbagai kementerian mengenai polisi dan pentadbiran kerajaan.
“Dengan ini, mereka akan menjadi ahli dewan yang berpengetahuan dan efektif,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang dipengerusikan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di sini semalam.
ADUN Belawai Datu Len Talif Salleh berkata, beliau kini dalam proses mencari data untuk diketengahkan terutamanya isu yang dibangkitkan pembangkang pada pilihan raya lepas.
“Isu yang dibangkitkan pembangkang kebanyakannya tidak munasabah dan kita tahu mereka tidak mampu untuk melaksanakannya.
“Jadi, kita perlu memberikan penerangan secara terperinci terhadap isu yang dibangkitkan mereka,” katanya yang ditemu bual sejurus selesai mesyuarat.
Beliau juga menjelaskan banyak perkara di konstituensinya yang perlu ditangani segera, sama ada melibatkan perancangan jangka pendek mahupun jangka panjang.
Katanya, isu jangka pendek ialah seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya sementara jangka panjang dari segi ekonomi penduduk iaitu penglibatan penduduk dalam memanfaatkan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).
“Kita perlu merancang untuk menggerakkan lagi penduduk agar bersama-sama membangun dan perkara ini harus diberikan tumpuan serta kerjasama bagi memajukan lagi kawasan,” kata Len.
Sementara, ADUN Kedup, Martin Ben berkata, akan bersedia untuk bertindak balas terhadap isu yang dibangkitkan pembangkang di konstituensinya menerusi saluran kerajaan.
“Banyak isu, iaitu seperti pembangunan tetapi tidak perlulah saya bising-bising di dewan.
“Saya akan gunakan saluran kerajaan tertentu dan bekerjasama dengan kementerian atau agensinya,” katanya.
Dalam pada itu, penyertaan pertamanya dalam persidangan DUN kelak, Martin berkata akan melengkapkan diri dengan asas bersidang, selain memanfaatkannya untuk belajar.
“Sebagai orang baru, saya jadi pemerhati dulu dan pada masa sama belajar dari yang senior,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment