Thursday, May 26, 2011

Cadangan wujud jawatan untuk kaum Dayak dalam SUPP langkah positif, kata Jeniri


Posted on May 25, 2011, Wednesday
MIRI: Cadangan jawatan timbalan presiden di kalangan kaum Dayak dalam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) merupakan satu langkah yang positif demi mengharungi cabaran landskap politik masa depan di negeri ini.
Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan juga penganalisis politik, Dr Jeniri Amir berpendapat ia akan memberikan corak parti pelbagai kaum kepada SUPP yang turut mendapatkan sokongan dan dokongan daripada kaum Iban dan Bidayuh.
“Tidak salah jika mewujudkan dua sayap dalam parti iaitu Cina dan Dayak kerana ia dilihat sebagai satu langkah ke hadapan,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo petang semalam.
Menurutnya, ia merupakan semangat dan aspirasi rakyat yang selama ini ingin melihat parti yang terdiri daripada pelbagai kaum.
“Apa yang penting ialah masyarakat Cina yang harus terbuka dan menerima serta memberi peluang kepada masyarakat Dayak dalam parti (SUPP),” jelasnya lagi.
Katanya lagi, cadangan berkenaan juga supaya SUPP tetap dipandang terus relevan kerana jika tidak, ia (SUPP) tidak lebih daripada sebuah parti bersifat ‘kecinaan’ sahaja.
Namun, beliau mengatakan jawatan tertinggi parti ataupun presiden harus dikekalkan di kalangan kaum Cina.
Kelmarin, veteran SUPP, Datuk Dr Anthony Nait mengutarakan cadangannya supaya jawatan timbalan presiden SUPP dilantik di kalangan kaum Dayak.
Beliau yang juga ahli SUPP Kota Sentosa mengatakan pendekatan tersebut menurutnya adalah untuk memberikan peluang lebih besar kepada ahli-ahli Dayak untuk bersuara dan juga sebagai pengikirafan sumbangan kaum itu terhadap perjuangan dan kekukuhan parti.

No comments:

Post a Comment