Sunday, May 8, 2011

Kaji punca sokongan Dayak menurun


by Nick Fletcher. Posted on May 6, 2011, Friday
Penurunan pengundi Dayak mesti diteliti dengan serius oleh pucuk pimpinan BN


RAIKAN BERSAMA: Masing (tengah) bersama calon-calon PRS yang memenangi Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 memotong kek kemenangan sempena majlis kesyukuran bagi meraikan kemenangan BN dan calon PRS.
KUCHING: Penurunan pengundi Dayak secara umum di kawasan luar bandar dalam pilihan raya negeri lalu mesti diteliti dengan serius oleh pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) baik di peringkat negeri mahupun persekutuan.
Menurut Menteri Kemajuan Tanah Dato Sri James Masing, terdapat sebab-sebab penurunan sokongan masyarakat Dayak terhadap BN.
Justeru, presiden salah sebuah parti politik berasaskan Dayak dalam BN iaitu Parti Rakyat Sarawak (PRS) itu menegaskan bahawa masyarakat Dayak mahukan pembabitan yang bermakna dalam pentadbiran kerajaan.
Katanya, pembabitan tersebut bermakna mengambil kira sumbangan mereka (masyarakat Dayak) kepada kemenangan BN pada pilihan raya negeri yang lalu.
Jelasnya, antaranya ialah merangkumi penglibatan masyarakat Dayak dalam perkhidmatan awam di peringkat persekutuan.
“Penjawat awam Dayak yang berkelayakan perlu direkrut ke dalam peringkat tertinggi perkhidmatan kerajaan di peringkat persekutuan.
“Dengan itu, BN akan mengurangkan tuduhan pembangkang bahawa masyarakat Dayak di Sarawak telah diketepikan oleh kepimpinan persekutuan dalam pengambilan penjawat awam,” kata Masing.
Beliau berkata demikian semasa berucap sempena majlis kesyukuran bagi meraikan kemenangan BN dan calon PRS pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10, di sini malam kelmarin.
Menurut Masing, jika tuntutan seumpama itu tidak dipenuhi sewajarnya, BN mungkin menghadapi masalah dalam usaha mengekang penurunan sokongan penduduk luar bandar.
“Pembangkang tahu kawasan luar bandar boleh memainkan peranan penting dalam menggulingkan BN di Sarawak dalam pilihan raya akan datang dan mereka sedang merancangnya sekarang.
“Maka itu, isu-isu yg menjejaskan penduduk luar bandar mesti ditangani oleh kepimpinan tertinggi BN dengan bijaksana,” katanya.
Sementara, majlis kesyukuran itu  turut dihadiri lapan calon PRS yang memenangi kerusi masing-masing.
Selain Masing yang mengekalkan kerusi DUN Baleh, mereka terdiri daripada Snowdan Lawan (Balai Ringin), Liwan Lagang (Belaga), Mong Dagang (Bukit Bengunan), Malcom Mussen Lamoh (Batang Ai), Alexander Vincent (Ngemah), Joseph Mauh Ikeh (Tamin) dan John Sikie Tayai (Kakus).
Pada pilihan raya lalu, PRS yang diperuntukkan sembilan kerusi memenangi lapan daripadanya, setelah calonnya Stanley Nyitar tewas di Pelagus.

No comments:

Post a Comment