Wednesday, May 18, 2011

Pehin Sri - Pendidikan luar bandar perlu dibaiki



by Agnes Tugong. Posted on May 17, 2011, Tuesday

Taib berharap ia diberi perhatian lebih baik oleh Kementerian Pelajaran
KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berharap agar masalah pendidikan di luar bandar di negeri ini akan diberi perhatian lebih baik oleh pihak berwajib.
Menurut Taib, kawasan luar bandar di negeri ini berhadapan dengan pelbagai masalah terutama daripada aspek peningkatan mutu di kalangan warga pendidik.
Justeru beliau berharap agar kementerian berkaitan memberi perhatian yang lebih baik ke atas masalah pendidikan di negeri ini khususnya di luar bandar.
“Kita berterima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana telah banyak memberi bantuan dalam peningkatan projek pendidikan di luar bandar.
“Selari dengan pelaksanaan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), kita berharap lebih ramai tenaga tempatan dididik dalam kemahiran teknikal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-40 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini semalam.
Jelas Taib lagi, industri berat dalam SCORE akan mencetuskan lebih banyak peluang pekerjaan. Justeru katanya, pada masa akan datang kerjasama antara kerajaan pusat dan negeri akan dieratkan lagi ke arah peluang tersebut.
Kerajaan negeri katanya akan memberi sokongan sepenuhnya kepada usaha-usaha kerajaan persekutuan.
Pada majlis tersebut turut diadakan penyampaian Anugerah Tokoh Guru dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2011.
Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2011 telah diberikan kepada Datuk Dr Nor Daim @Matnor Daim atas sumbangan bakti beliau melalui kesungguhan dalam memajukan bidang pendidikan.
Tokoh Guru 2011 pula terdiri daripada Datuk Prof Dr Abdul Rahman Selamat, Datuk Siva Subramaniam, Hamdeh Wok Awang dan Datuk Rita T Jaafar @ Rita Bagong.

No comments:

Post a Comment