Monday, May 16, 2011

Sarawak sasar capai 500 RMR dengan peruntukan tambahan

SIMBOLIK: (Dari kiri) Adenan, Azizi, Abang Johari dan Dr Rahman meletakkan batu bata sebagai simbolik permulaan kerja pembinaan RMR Lundu, semalam. — Gambar Jeffery Mostapa
Posted on May 15, 2011, Sunday
LUNDU: Sarawak menyasarkan untuk membangunkan 500 unit Rumah Mesra Rak-yat (RMR) di seluruh negeri dengan peruntukan tambahan RM50 juta daripada kerajaan pusat.

Sehingga kini kerajaan telah membangunkan 340 unit RMR di Sarawak manakala 160 unit masih belum dibangunkan.

Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, projek berkenaan merangkumi beberapa kawasan luar bandar di seluruh negeri.
“Berdasarkan peruntukan tambahan yang diberikan RM50 juta kepada Sarawak, kita mungkin dapat membina kira-kira 500 unit RMR untuk dibangunkan.
“Ia termasuk di kawasan Sebuyau, Lingga, Maludam, Mukah selain Kuching, Bekenu dan Lambir,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke tapak pembinaan RMR di sini, semalam.
Beliau menjelaskan bahawa pelaksanaan pembinaan RMR kini lebih mudah berbanding dahulu yang terpaksa dibina di atas tanah individu yang kadangkala mengundang masalah.
“Di Sarawak kita ada pengecualian khas yang diluluskan kerajaan pusat, yang pada asalnya RMR perlu dibina di atas tanah individu.
“Tetapi memandangkan kita ada Skim Pembesaran Kampung, kini projek RMR boleh dibina di atas tanah baru yang sekali gus menjadikan pemilik mendapat bukan sahaja rumah bahkan surat hak milik tanah,” tegasnya.
Berhubung pembinaan RMR di Lundu, Abang Johari memberitahu bahawa projek yang menelan kos RM2 juta itu melibatkan sebanyak 28 unit RMR.
Projek yang akan memulakan kerja-kerja pembinaan secepat mungkin itu katanya dijangka mengambil masa empat hingga enam bulan untuk disiapkan bagi sesebuah unit.
Katanya projek fasa pertama berkenaan yang diberikan kepada lima kontraktor kelas F tempatan itu akan diperluaskan lagi pembinaannya jika mendapat respons memberangsangkan daripada penduduk setempat.
Antaranya  kontraktor berkenaan adalah B.D Resources, Nordiana Enterprise, Saini & Sons Trading, Gading Mountain Enterprise dan Tylin General Contractor.

No comments:

Post a Comment