Sunday, May 1, 2011

Dennis Ngau - DAP-SNAP akan merugikan politik Sarawak

 
Posted on April 30, 2011, Saturday


DENNIS
Lebih bijak jika SNAP kerjasama dengan komponen BN
MIRI: Gabungan di antara Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) akan merugikan senario dan arena politik di Sarawak.Wakil rakyat Telang Usan, Dennis Ngau Jok sebaliknya secara peribadi merasakan adalah lebih baik jika SNAP bergabung dengan mana-mana parti komponen Barisan Nasional (BN) di Sarawak.
“Tindakan yang lebih bijak ialah bekerjasama dengan parti komponen BN demi mengukuhkan lagi sistem politik di Sarawak dan juga masa depan politik generasi akan datang,” kata Dennis ketika dihubungi Utusan Borneo semalam.

Menurutnya, beliau tidak bersetuju dengan cadangan gabungan DAP-SNAP kerana SNAP pernah menjadi salah satu parti komponen BN di Sarawak.
“DAP sebenarnya mempunyai agenda tersendiri yang berhasrat untuk menawan kerusi di kawasan sub bandar dan luar bandar melalui SNAP,” ujarnya.
Jelasnya, kerugian yang ditanggung oleh SNAP adalah jelas jika gabungan dengan DAP menjadi realiti.
Ini kerana, katanya, SNAP sekadar dipergunakan oleh DAP demi impian politik mereka, bukan kerana kepentingan politik di Sarawak.
Selepas dua hari kemenangan besar DAP di kerusi-kerusi bandar pada Pilihan Raya Negeri lalu, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang mencadangkan penggabungan antara DAP dan SNAP.
Bagaimanapun, ia mendapat reaksi dan pandangan berbeza dalam arena politik terutamanya di Sarawak.
Setiausaha SNAP Stanley Jugol melalui sebuah portal berita dipetik sebagai berkata gabungan berkenaan tidak mungkin direalisasikan dalam masa terdekat.
Sementara itu, kebanyakan pemimpin-pemimpin kanan BN Sarawak menyifatkan cadangan gabungan berkenaan adalah sesuatu yang sia-sia.
Pakatan Rakyat (PR) Sarawak menang di 15 kerusi di mana Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendapat tiga daripada 49 kerusi manakala DAP pula berjaya menawan 12 daripada 15 kerusi yang dipertandingkan.
SNAP pula gagal mendapat sebarang kerusi di semua 26 konstituensi calon-calonnya diletakkan.

1 comment:

  1. Saya setuju jika snap tidak bergabung dengan dap, tapi saya sangat tidak setuju snap bergabung dengan bn..

    ReplyDelete