Monday, May 9, 2011

Jangan terlalu ikut emosi - Tengah

by Connie Sylvia Mesa. Posted on May 9, 2011, Monday

BN gagal di bandar kerana pembangkang guna emosi rakyat untuk semai rasa benci kepada kerajaan, kata Awang Tengah


SERAH: Tengah (empat kanan) menyampaikan pewartaan Rizab Gunasama Bumiputera (Pertanian) kepada Ketua Kampung Terahad Bekenu, Lidi Asid sambil diperhatikan oleh Lai (kanan), Entri (dua kanan), Rosey (tiga kanan) dan yang lain.
BEKENU: Rakyat disarankan agar tidak terlalu mengikut emosi sehingga terpengaruh dengan kata-kata yang dijanjikan oleh pihak pembangkang.
Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata rakyat di kawasan bandar terutamanya terlalu mengikut emosi hingga menyebabkan mereka terpedaya dengan kata-kata pembangkang.
“Kita tidak seharusnya terlalu beremosi sehingga mempengaruhi kita untuk percaya dengan kata-kata yang ditaburkan oleh pihak pembangkang. Mereka (pembangkang) terutamanya yang di luar Sarawak, hanya datang untuk menghasut ke sana-sini dan mempedayakan kita dengan janji yang belum pasti.
“Rakyat seharusnya bersikap matang untuk menilai setiap kata-kata yang ditaburkan oleh pihak pembangkang,” katanya dalam Majlis Kesyukuran dan Penghargaan Barisan Nasional (BN) dan Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) N.61 bertempat di Bilik Gerakan BN Bekenu di sini, semalam.
Sebagai contoh katanya, pada pilihan raya negeri yang lalu, BN gagal menguasai beberapa kerusi di bandar kerana pembangkang menggunakan emosi rakyat untuk menyemai rasa benci kepada kerajaan.
Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada rakyat yang sentiasa mengundi dan memberikan sokongan mereka terhadap kepimpinan BN.
“Sokongan yang anda berikan amat dihargai oleh kerajaan BN. Justeru, ia juga membolehkan kerajaan memberikan komitmen sepenuhnya bagi memastikan rakyat menikmati pembangunan berterusan,” katanya.
Tambah beliau lagi, kerajaan sentiasa berusaha untuk memenuhi setiap keperluan rakyat dan melakukannya secara berperingkat bagi memastikan rakyat saling menikmati pembangunan yang dijanjikan.
Turut berucap dalam majlis tersebut bagi mengalu-alukan kedatangan jentera dan para penyokong BN Bekenu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Rosey Yunus.
Dalam majlis yang sama, Tengah turut menyerahkan surat pewartaan Rizab Gunasama Bumiputera (Pertanian) Kampung Terahad Bekenu kepada Ketua Kampung terbabit, Lidi Asid.
Sementara itu, para tetamu yang hadir dihidangkan dengan pelbagai juadah makan tengah hari dan turut dihiburkan dengan acara bermukun dan bergendang.
Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah  Menteri Muda Bekalan Air, Sylvester Entri, Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang, ADUN Lambir Ripin Lamat, ADUN Batu Danau Paulus Gumbang dan Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Miri, Rozlan Putit.

No comments:

Post a Comment