Sunday, May 15, 2011

Desakan pengunduran Taib tidak wajar: Masing

 
by Agnes Tugong. Posted on May 14, 2011, Saturday

JAMES MASING
MoCS tidak berhak mendesak KM segera meletak jawatan
KUCHING: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Movement for Change Sarawak (MoCS) tidak berhak mendesak Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud segera meletak jawatan.
Presiden PRS Dato Sri James Masing menyifatkan desakan tersebut sebagai satu tindakan yang tidak wajar oleh MoCS yang dipengerusikan oleh Francis Paul Siah.
Menurutnya, MoCS tidak ada hak untuk berbuat demikian apatah lagi pelantikan Taib sebagai Ketua Menteri adalah berdasarkan proses pemilihan yang sah mengikut perlembagaan.
“Umum ketahui Taib telah dilantik sebagai Ketua Menteri mengikut proses pemilihan sah dari segi undang-undang perlembagaan.
“Bagaimana badan seperti MoCS boleh mendesak beliau untuk segera meletak jawatan sedangkan mereka tidak diberikan kuasa untuk berbuat demikian.
“Pada saya desakan ini adalah satu tindakan yang tidak bermoral dan tidak menghormati beliau sebagai pemimpin yang dipilih secara sah oleh rakyat mengikut perlembagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Utusan Borneo bagi mengulas tindakan MoCS melancarkan ‘Operasi Taibetes’ semalam, bagi mendesak Taib meletak jawatan pada 13 Ogos 2011, tiga bulan bermula semalam.
Menurut Francis, jika Taib enggan berbuat demikian, MoCS akan terus berusaha sehingga beliau melepaskan jawatan atau beliau (Taib) melakukannya secara paksaan atas kuasa rakyat.
Beliau bagaimanapun menjelaskan desakan ini tiada kaitan dengan soal peribadi tetapi adalah atas dasar untuk melihat perubahan dalam pucuk kepimpinan dan pentadbiran negeri dan kepentingan rakyat.
“MoCS ditubuhkan secara rasmi pada 13 Ogos 2010 iaitu pada hari Jumaat dan bermula hari ini, kami memberikan tempoh sehingga 13 Ogos 2011 untuk Taib meletak jawatan.
“Jika beliau enggan berbuat demikian, kuasa rakyat akan memaksa beliau meletak jawatan dan keluar dari pejabatnya,” katanya pada sidang media di pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cawangan Stampin, semalam.

No comments:

Post a Comment