Sunday, May 15, 2011

Masing persoal kewajaran PPP

 
by Sandy Mark Luna. Posted on May 11, 2011, Wednesday
Walaupun parti itu berhak untuk melebarkan sayap ke Sarawak namun keputusan mereka dipertikaikan oleh parti BN Negeri

KUCHING: Berlandaskan amalan demokratik yang masih hidup segar di Sarawak, tidak ada masalah sekiranya Parti Progresif Penduduk (PPP) yang tetap berkeras dengan pendiriannya untuk melebarkan sayapnya ke negeri ini.
Namun demikian, Presiden PRS Dato Sri Dr James Masing mempersoalkan kewajaran keputusan parti itu yang juga merupakan parti komponen BN.
“PPP sememangnya berhak untuk mengembangkan sayapnya ke Sarawak. “Tetapi sebagai ahli BN, tetapi adakah ia keputusan yang wajar?,” katanya kepada pemberita menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS) kepada Utusan Borneo di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan akhbar semalam yang menyiarkan PPP akan merekrut lebih ramai ahli secara agresif sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.
Naib Pengerusi PPP, George Budit yang dipetik sebagai berkata, parti itu yang mempunyai keahlian kira-kira 29,000 ahli seluruh negeri akan memulakan kempen merekrut ahli di Sibu sebelum Mukah, Daro, Sarikei, Meradong serta bandar-bandar lain.
Di Sibu sahaja katanya, PPP mempunyai kira-kira 5,000 ahli dan 28 cawangan termasuk Dudong, Bukit Assek, Pelawan dan Bawang Assan. Selain Sibu, PPP turut mempunyai cawangan di Kuching, Sri Aman, Sarikei, Bintulu, Kanowit, Kapit dan Miri.

No comments:

Post a Comment