Monday, May 23, 2011

Dr Jerip tempelak penyokong DAP tuduh Dayak bodoh kerana pilih BN

Posted on May 23, 2011, Monday
PENRISSEN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengoh Dr Jerip Susil menempelak kenyataan sesetengah pihak dari bandar yang menyifatkan masyarakat Dayak bodoh kerana menyokong Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri lepas.
Menurut penyandang kerusi DUN Bengoh bagi penggal ketiga itu, tindakan masyarakat Dayak menyokong BN bukannya kerana mereka bodoh tetapi menunjukkan kebijaksanaan mereka yang menginginkan kemajuan dan kestabilan hidup.
Katanya, hanya dengan menyokong BN masyarakat berkenaan akan dapat mengecapi kemajuan serta kesejahteraan hidup dari pelbagai aspek termasuk pembangunan, pendidikan, kesihatan dan sebagainya.
Malah, katanya kestabilan dan kemajuan yang dibawa kerajaan BN di kawasan kampung khasnya luar bandar akan membolehkan penduduk setempat menjana pendapatan, dan ia secara tidak langsung turut memberikan manfaat kepada orang bandar melalui proses urus niaga.
“Sebab itu, saya tidak mahu lagi mendengar orang bandar mengatakan orang Bidayuh dan Iban bodoh kerana menyokong BN,” katanya semalam.

Dr Jerip yang kesal terhadap kenyataan sedemikian berkata ia bukan sahaja memandang rendah masyarakat Bidayuh dan Iban, tetapi juga boleh mewujudkan ketegangan antara kaum.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar masyarakat Dayak mengekalkan perpaduan dan bekerjasama dengan pihak kerajaan agar dapat mengecapi pembangunan berterusan pada masa akan datang.
“Sekarang ini tidak ada orang bodoh…mereka (masyarakat Dayak) tahu apa manfaat menyokong BN dan dengan menyokong BN menunjukkan mereka bijak,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Jerip turut menasihati masyarakat Dayak agar tidak terpedaya dengan hasutan orang luar yang mengatakan kerajaan BN menindas rakyat.
Katanya, kerajaan tidak pernah menindas rakyat, sebaliknya membantu rakyat dari segenap aspek seperti pendidikan, kesihatan dan sebagainya untuk terus maju dan mengecapi kehidupan yang sempurna.
Dr Jerip berkata demikian semasa berucap pada majlis Penyampaian Sumbangan Magnum 4D – ‘Magnum Cares’ kepada golongan warga emas Kampung Garung dan Kampung Semadang, di sini semalam.
Sumbangan tersebut merupakan antara usaha Kumpulan Syarikat Magnum menjalankan tanggungjawab sosial korporat dalam membantu golongan memerlukan bersempena perayaan Hari Gawai Dayak yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Turut hadir ialah Penolong Pengurus Magnum 4D Suy Kok Yie, Pegawai Operasi Magnum 4D Malaysia Timur Sdn Bhd Nancy Henry, Ketua Kampung Garung Dihed Tommy Dium dan Ketua Kampung Semadang Samson Manggang.

No comments:

Post a Comment