Wednesday, May 25, 2011

Pertubuhan Francis Siah dan Abdillah Nassar haram


Posted on May 25, 2011, Wednesday
KUCHING: Pergerakan Untuk Perubahan Sarawak (MoCS) merupakan pertubuhan haram kerana penubuhan mereka tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
Senator Datuk Idris Buang yang mendakwa demikian berkata, semakan terhadap pertubuhan tersebut telah dilakukan dengan pengarah ROS Sarawak baru-baru ini.
“Kita harus mendaftarkan pertubuhan agar sah dari sisi undang-undang sebelum melakukan apa-apa aktiviti seperti mengeluarkan atau mencetak kenyataan umum seperti dilakukan baru-baru ini,” katanya menerusi kenyataan akhbar semalam.
MoCS yang diketuai Francis Siah telah melakukan kesalahan di bawah Akta Pertubuhan 1966.
Justeru, pertubuhan yang diketuai Francis Siah dan Abdillah Nassar itu melanggar undang-undang seperti termaktub di bawah Seksyen 41 dan boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda RM15,000 menggunakan Seksyen 42 di bawah akta terbabit.
“Dalam kenyataan baru-baru ini, Siah dan Abdillah bukan sahaja tidak mempunyai locus standi (asas) tetapi juga tanpa integriti undang-undang,” katanya.
Idris turut menasihatkan orang ramai agar tidak terbabit dengan MoCS atau menyertai aktiviti kerana ia juga merupakan kesalahan undang-undang.
“Saya harap pengarah ROS Sarawak dan polis akan menyiasat dan mendakwa mereka (MoCS),” katanya.
MoCS baru-baru ini semakin lantang meminta Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud meletak jawatan.
Mereka turut mengugut akan mengadakan perhimpunan bagi menggesa Taib berbuat demikian sehingga 13 Ogos akan datang.
Berikutan itu, Idris dan beberapa cawangan Pemuda PBB membuat laporan polis agar Siah disiasat atas cubaan mengadakan perhimpunan haram.

No comments:

Post a Comment