Tuesday, May 17, 2011

Dayak penghalang DAP


Posted on May 16, 2011, Monday Bukan mudah untuk DAP realisasi impian tawan Sarawak kerana mereka perlu sokongan majoriti Dayak
SIBU: Bukan mudah untuk DAP merealisasikan impiannya menawan Sarawak pada pilihan raya negeri akan datang kerana mereka perlu  meraih sokongan majoriti kaum Dayak.

Namun, Presiden PRS Dato Sri James Masing percaya kaum itu tidak akan terpedaya dengan janji DAP untuk membolehkan parti tersebut bertanding di kawasan majoriti pengundi Dayak.
“Mungkin akan ada yang menyertai DAP tetapi parti itu tidak akan dapat memikat pemimpin Dayak yang berkualiti.
“Ini kerana walaupun parti itu disertai pelbagai bangsa, DAP pada asasnya parti kaum Cina. Kaum Dayak tidak akan berpeluang bersuara,” katanya kepada Bernama, di sini semalam.
Beliau juga percaya kedudukan hierarki dalam DAP juga akan tetap berorientasikan kaum Cina.
Masing mengulas kenyataan Pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng, yang baru-baru ini dilapor berkata, dalam usaha menawan Sarawak pada pilihan raya negeri akan datang, parti itu akan ke pedalaman bagi memikat kaum Dayak, termasuk mewujudkan lebih banyak cawangan parti tersebut.
Mengulas lanjut, Masing berkata DAP tidak mampu menarik minat etnik Dayak seperti yang dibuktikan menerusi kegagalan kerjasama antara parti itu dan SNAP.
Katanya kekuatan DAP adalah di kawasan bandar yang mana parti itu sekarang mempunyai 12 kerusi yang bermajoritikan kaum Cina.
Bagaimanapun kata Masing, beliau tidak memandang remeh impian DAP itu dan PRS akan meningkatkan usaha mengukuhkan sokongan kaum Dayak kepada partinya.
Ini kerana katanya, pada pilihan raya negeri yang baru berakhir sokongan kaum Dayak kepada Barisan Nasional (BN) merosot sedikit.
“Saya juga akan mencadangkan kepada parti komponen BN agar melihat kerjasama dengan kaum Dayak sebagai satu perkongsian bermakna dan membuatkan mereka berasa lebih positif,” katanya. — Bernama

No comments:

Post a Comment