September 17, 2010, Friday
KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) tidak harus tunduk kepada pihak pembangkang malah harus berani menangkis dakwaan yang dilemparkan bagi mempertahankan parti tersebut.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) negeri Dr Stephen Rundi Utom berkata, pada masa yang sama mereka juga harus berupaya memberi penjelasan kepada rakyat dengan bersatu padu.
“Mereka tidak harus mengikut rentak DAP (Parti Tindakan Demokratik) sebaliknya mesti memiliki agenda tersendiri yang jelas dan terus kekal dalam BN.
“Perlu diingatkan, pihak pembangkang yang akan mendapat manfaat dan mengambil kesempatan sekiranya kita lemah,” katanya kepada Utusan Borneo di sini.
Dr Rundi juga Setiausaha Parti Pesaka Bumiputera Bersatu berkata, SUPP perlu menyelesaikan sebarang pertikaian dalaman di setiap peringkat agar struktur parti itu dapat diperkukuhkan lagi.
Selain itu, menurutnya SUPP juga perlu berusaha gigih dan meningkatkan usaha dalam memperjuangkan keperluan setiap masyarakat.
Jelasnya, parti itu perlu menjaga kebajikan bukan sahaja demi masyarakat Cina yang mereka wakili, malah termasuk Bumiputera juga.
“Kami percaya SUPP harus berusaha gigih dan meningkatkan usaha demi rakyat yang mereka wakili, termasuk masyarakat bumiputera juga dan bukan sekadar bercakap mengenai apa yang diinginkan oleh masyarakat cina sahaja,” katanya.
No comments:
Post a Comment