Saturday, September 18, 2010

JPUS jangan bermimpi di siang hari, kata Abdul Karim





KUCHING: Meskipun Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak telah menegaskan tidak akan mengembangkan sayapnya ke Sarawak, namun jawatankuasa penaja parti itu berpendirian sebaliknya dengan sasaran untuk bertapak di negeri ini tahun depan.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Abdul Karim Hamzah berkata pihak yang menggelarkan diri mereka Jawatankuasa Penaja UMNO Sarawak (JPUS) patut bangun dari tidur untuk menamatkan mimpi siang hari mereka, supaya mendengar pendirian presiden UMNO.
Karim berkata, UMNO di Semenanjung memerlukan bantuan untuk mengukuhkan kedudukan mereka daripada tentangan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Oleh yang demikian usaha mereka untuk mengukuhkan UMNO amat diperlukan di Semenanjung daripada bermimpi untuk menubuhkan cawangan di negeri ini, katanya lagi.
“Kumpulan penaja ini nampak seolah-olah menentang pendirian presiden parti mereka apabila berhasrat untuk menubuhkan cawangan di negeri ini,” katanya.

Karim berkata demikian menerusi teks sistem pesanan ringkas (SMS) yang dimajukan kepada Utusan Borneo di sini, bagi mengulas kenyataan pengerusi penaja parti itu di Sarawak yang menyasarkan penubuhan cawangan tahun depan.
Dalam kenyataan yang disiarkan oleh akhbar ini semalam, Ketua Penerangan JPUS memberitahu bahawa jawatankuasa penaja itu sudah mempunyai 70,000 ahli di negeri ini.
“Dari mana mereka mendapat ahli yang begitu ramai? Nama diambil dari daftar pemilih kah?” Karim mempersoalkan kenyataan tersebut.
Karim berkata, sekiranya mereka ingin membantu untuk mengukuhkan BN di negeri ini mereka sepatutnya bekerjasama dengan parti komponen di negeri ini.
“Mereka tidak seharusnya melakukan sesuatu yang dilihat seperti sebaliknya.
“Kalau betul nak tolong, tolong dari dalam dan jangan pura-pura nak tolong dari luar,” tegasnya.
Karim berkata, preisden UMNO hanya akan memutuskan untuk mengembangka parti itu ke Sarawak jika direstui oleh parti komponen BN negeri ini.
Oleh itu beliau meminta supaya kumpulan penaja UMNO ini tidak lagi menggugat kestabilan politik dan hubungan di kalangan Bumiputera negeri ini dengan menyebarkan kemasukan parti itu ke Sarawak.
UMNO adalah parti tulang belakang Barisan Nasional (BN) pusat.
Manakala di peringkat negeri pula, BN Sarawak ditunjangi oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) di samping tiga parti komponan yang lain – Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).
Selain UMNO sebuah lagi parti komponen BN pusat iaitu Parti Progresif Penuduk (PPP) turut berhasrat untuk bertapak di negeri ini.
Sarawak memiliki 71 kerusi DUN dan 31 kerusi parlimen.
PBB menguasi 35 daripada kerusi DUN manakala SUPP (19) PRS (9) dan SPDP (8). Manakala di peringkat Parlimen, PBB menguasai 14 kerusi, SUPP (7), PRS (6) dan selebihnya SPDP (4).

No comments:

Post a Comment