Saturday, September 18, 2010

Hasrat JPUS hanya propaganda





Presiden parti sudah jelas bahawa UMNO tidak akan masuk ke Sarawak
SIBURAN: Ahli Parlimen Mambong, Datuk James Dawos Mamit menganggap hasrat Jawatankuasa Penaja Umno Sarawak (JPUS) untuk terlibat dalam pilihan raya negeri yang akan datang sebagai propaganda sahaja.
Menurut beliau, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN Pusat dan Presiden UMNO pernah berjanji semasa berucap sempena melancarkan Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) ke-12 pada Mac lepas, bahawa UMNO tidak akan melebarkan sayapnya di Sarawak.
“Maka, adalah tidak seharusnya untuk UMNO berada di Sarawak.., ini hanyalah propaganda,” katanya ketika diminta mengulas niat JPUS untuk meletakkan calon pada pilihan raya negeri kelak.
Dawos yang juga Timbalan Menteri Pelancongan yakin rakyat negeri ini tidak akan menerima kemasukan UMNO.

Terdahulu, Dawos ditemui ketika melancarkan Projek Menaik Taraf Jalan di Taman Duranda Emas, di sini semalam.
Sementara itu, Ketua Kaum Kampung Duras, Johen Sinyon, 70, ketika diminta pandangannya berhubung perkembangan tersebut, berkata adalah tidak perlu untuk UMNO masuk ke Sarawak.
Beliau yang juga Pegawai Akar Umbi PBB kawasan Siburan percaya rakyat negeri ini bijak menilai parti politik yang sesuai, dan ia bukanlah UMNO.
“Kita (rakyat) di Sarawak bukan untuk UMNO, tempat UMNO hanyalah di Semenanjung,” ujar Johen yang kini sudah berkhidmat sebagai Ketua Kaum Kampung Duras selama 40 tahun.
Kelmarin, Ketua Penerangan JPUS Abu Bakar Hassan memberitahu pihaknya sudah bersedia bagi proses pemilihan calon untuk bertanding pada pilihan raya kelak.
Beliau turut mendedahkan bahawa JPUS kini mempunyai kira-kira 70,000 ahli serta 350 cawangan di seluruh Sarawak.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas mengenai persiapan dan sejauh mana penglibatan mereka untuk pilihan raya yang akan datang.

No comments:

Post a Comment