September 27, 2010, Monday
BINTULU: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menyifatkan pengumuman Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud untuk terus menerajui kerajaan dan parti sebagai melegakan keseluruhan ahli parti dan orang ramai.
Naib Ketua Pergerakan tersebut, Pandi Suhaili (gambar) berkata corak kepimpinan mantap serta pengalaman luas presiden PBB itu dalam politik masih diperlukan untuk meneruskan agenda pembangunan negeri Sarawak lebih-lebih lagi ketika menuju ke arah negeri maju.
“Hasrat dan niat suci beliau untuk terus membantu negeri ini menunjukkan semangat tulen seorang pejuang rakyat yang sentiasa meletakkan rakyat sebagai keutamaan.
“Walaupun Sarawak khususnya PBB mempunyai ramai pemimpin berkaliber dan berkemampuan namun adalah amat rugi jika kita mensia-siakan khidmat seorang yang mampu membawa kita jauh maju ke hadapan dan telah terbukti beliau berjaya memimpin semua ahli parti untuk bersatu dan bekerjasama dalam satu pasukan yang besar,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.
Pandi yang juga ketua pemuda PBB Jepak berkata, dasar pembangunan kerajaan yang diterajui Taib adalah seimbang antara bandar dan luar bandar.
Ini dibuktikan dengan hampir separuh peruntukan kerajaan adalah untuk pembangunan di luar bandar.
“Dengan pengalaman serta pengetahuan luas Pehin Sri, kami juga percaya beliau akan terus menumpukan pelan pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE),” katanya.
Menurut beliau, semangat juang dan kesetiaan Taib kepada tanah air akan menjadi pembakar semangat khususnya Pergerakan Pemuda PBB untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan taat setia kepada parti.
Justeru, Pemuda PBB katanya, akan terus mendampingi rakyat terutama golongan belia agar mereka faham dan terus menyokong dasar kerajaan.
“Kami memberi tumpuan terhadap golongan belia kerana mereka adalah golongan pelapis yang akan meneruskan kepimpinan serta menjadi penentu hala tuju negeri ini pada masa akan datang,” katanya.
No comments:
Post a Comment