by Sudan Ajang
September 1, 2010, Wednesday
MIRI: Rakyat diingatkan agar menggunakan kuasa mengundi mereka dengan penuh saksama dan hanya memilih calon yang berupaya meneruskan kesinambungan pembangunan di negeri ini.
Jangan pilih calon yang disukai tetapi undi calon bawa kemajuan kepada Sarawak: Taib
Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, kestabilan politik dan perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama yang dinikmati hari ini akan musnah jika rakyat tidak membuat pilihan yang tepat.
“Jangan fikir calon yang disukai sahaja, namun biarlah calon yang dipilih itu ada kaitan dengan kemajuan akan datang. Kalau betul pilihan, maka negeri akan maju dan sebaliknya akan mundur jika silap pilihan.”
“Sehubungan itu, sebelum kita mengundi, tanya diri sendiri adakah calon itu mampu atau ada kebolehan untuk menyusun pembangunan dan kestabilan, atau hanya mahu politik setiap hari. Kalau sayangkan negara, berpada-padalah mengundi,” katanya berucap pada acara perhimpunan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-53 Peringkat Negeri Sarawak yang diadakan di Stadium Tertutup Miri pagi semalam.
Hadir sama Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang serta dif-dif kenamaan yang lain.
Terdahulu Taib dalam ucapannya berkata, kestabilan politik dan perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama yang kukuh sejak 47 tahun lalu telah membawa banyak kemajuan kepada Sarawak.
“Kita harus bersyukur kerana dapat menikmati keamanan, perpaduan, kemajuan dan kemakmuran menerusi penubuhan Malaysia. Buktinya semua lapisan masyarakat mendapat peluang sama rata dalam pen- didikan dan sosio ekonomi.”
Sementara itu acara sambutan Hari Kemerdekaan Ke-53 Peringkat Negeri Sarawak kali ini berlangsung dengan cukup sederhana bagi menghormati bulan Ramadan.
Acara bermula sebaik sahaja ketibaan masuk Tun Salahuddin dan Toh Puan Norkiah dan diiringi Ketua Menteri Sarawak pada jam 8.30 pagi.
Ketibaan tetamu kehormat dimulakan dengan menerima tabik hormat dari pasukan Kawalan Kehormatan Utama Rejimen Askar Melayu DiRaja yang membawa Panji-Panji Rejimen, nyanyian lagu Ibu Pertiwiku yang diiringi oleh Pancaragam Polis DiRaja Malaysia (PDRM) serta pemeriksaan Kawalan Kehormatan oleh Tun Salahuddin.
Selain itu perarakan dan mengibarkan Jalur Gemilang dan nyanyian beramai-ramai lagu Negaraku, Jalur Gemilang, 1Malaysia dan Tanggal 31 diikuti dengan deklamasi Puisi Kemerdekaan.
Selain itu juga beberapa segmen lain yang penuh simbolik dan semangat patriotik seperti bacaan Ikrar oleh wakil suku kaum Sarawak dan Pasukan Beruniform serta teriakan Merdeka sebanyak tujuh kali diakhiri dengan persembahan Tarian Kasih Malaysia.
No comments:
Post a Comment