by Wan Ali Amit. Posted on December 25, 2010, Saturday
Unsur positif menjurus kepada perpaduan lahir masyarakat bertamadun tinggiKUCHING: Unsur-unsur positif yang menjurus kepada ke-amanan dan perpaduan sejagat mampu melahirkan masyara-kat bertamadun tinggi, kata Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin.
Beliau berkata semua pihak perlu berusaha memupuk semangat setia kawan supaya tiada perasaan hasad dengki, dendam, curiga-mencurigai dan mementingkan diri sendiri.
Katanya, semangat kerjasama dan saling tolong menolong dalam menjaga kestabilan perjalanan hidup bermasyarakat mesti terus disemai di kalangan generasi penerus supaya setiap insan tidak perlu takut dengan sebarang bentuk ancaman.
“Justeru, setiap agama di dunia ini mengajar pengikut-pengikutnya ke arah kebaikan bagi menjaga keamanan dan perpaduan,” katanya dalam perutusan sempena Hari Krismas 2010 dan Tahun Baru 2011 di sini semalam.
Tun Salahuddin menarik perhatian bahawa sambutan Hari Krismas perlu diselubungi dengan perasaan riang ria disusuli pula sambutan Tahun Baru yang bakal disambut Sabtu depan.
Menurut beliau, pada tahun ini pelbagai perancangan telah dilaksanakan oleh kerajaan untuk memajukan negeri dan negara yang kita cintai ini.
Di peringkat negeri, rancangan pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) telah giat dijalankan.
“Justeru, tahun 2011 nanti sudah tentunya akan membawa harapan yang begitu tinggi di kalangan rakyat seluruh negeri ini,” katanya.
Tun Salahuddin menjelaskan bahawa ekonomi yang hanya bergantung kepada pengeluaran bahan mentah tidak akan dapat bertahan lama.
Oleh itu, perlu diadakan pembangunan yang lebih mapan dan menyeluruh dalam setiap pelan pembangunan lima tahun kerajaan terutama memberi penekanan kepada sektor penghasilan dan perkhidmatan.
“Mulai tahun 2011 dan seterusnya tumpuan adalah diberi kepada usaha inovatif dan kreatif, tidak kiralah inovasi dan kreativiti itu melibatkan penghasilan produk atau perkhidmatan.
“Jika kita terus bersaing dengan cara lama kita akan ketinggalan dan sentiasa menjadi ekonomi yang hanya mengikut dan mengguna.
“Untuk menjadi gergasi dalam pasaran, ekonomi kita perlu berubah berlandaskan idea-idea baru yang inovatif dan kreatif.
“Malah, tanpa ilmu dan kemahiran serta inovasi dan kreativiti maka segala perancangan kita untuk memantapkan ekonomi kita tidak akan tercapai dengan mudah dan berkesan,” ujarnya.
Tun Salahuddin mengingatkan rakyat agar berazam dan melipatgandakan usaha memperolehi ilmu dan kemahiran tinggi bagi memastikan negeri kita terus mampu bersaing dalam ekonomi global.
“Dalam kita mengejar pembangunan, marilah kita bersama-sama berganding bahu menyumbang tenaga dan minda ke arah pembangunan mapan serta berazam membentuk sahsiah dan perwatakan yang lebih baik,” katanya.
No comments:
Post a Comment