Wednesday, December 8, 2010

Pehin Sri : Kertas Putih bukan bertujuan politik

Oleh Dhia Daniel
KUCHING: Kelulusan pelaksanaan Kertas Putih oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak baru-baru ini bukan bertujuan politik malah ia lebih kepada usaha memelihara keharmonian hidup rakyat di Sarawak daripada diganggu gugat oleh sebarang anasir-anasir luar.
Ketua Menteri Sarawak, Abdul Taib Mahmud berkata kerajaan negeri terpaksa mengambil tindakan ini kerana terdapat "banyak kehadiran pihak luar" ke negeri ini, yang cuba merosakkan suasana keharmonian yang dinikmati oleh rakyat.
Menurutnya, pelaksanaan mekanisme tersebut merupakan usaha pencegahan secara keseluruhan dan ia bukan bersifat primitif.
"Kita akan laksanakannya secara perlahan-lahan dan kerajaan cuba mencari jalan serta mengkaji secara terperinci bagaimana situasinya.

"Pada masa ini, saya begitu sibuk dengan pelbagai urusan dan pelaksanaan Kertas Putih itu kemungkinan dilaksanakan sama ada sebelum atau selepas pilihan raya negeri,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Sarawak 2010 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Taib diminta mengulas perkembangan Kertas Putih yang diluluskan DUN Sarawak pada 2 November lalu pada Mesyuarat Kedua bagi Penggal Kelima Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-16.
Kertas Putih yang diluluskan itu bagi menghalang individu, organisasi serta media luar menganjurkan aktiviti-aktiviti tidak diingini dan tidak sihat di negeri ini yang boleh merosakkan keharmonian yang dikecapi rakyat negeri itu.
Usul itu tercetus apabila terdapat dakwaan bahawa parti-parti pembangkang, terutamanya dari luar Sarawak, semasa pilihan raya kecil Batang Air dan Sibu baru-baru ini cuba menyemarakkan perasaan benci rakyat terhadap pemimpin dan kerajaan negeri.
Ketika ditanya mengenai Konvensyen Barisan Nasional (BN), yang berlangsung di Wisma MCA, Kuala Lumpur hujung minggu lalu, beliau berkata ia merupakan pendekatan yang baik kerana kali terakhir konvensyen seumpama itu diadakan ialah pada tahun 1995.
Katanya, menerusi konvesyen tersebut, semua pemimpin-pemimpin parti komponen BN diberi peluang berucap untuk melontarkan pandangan berkaitan hala tuju parti berkenaan.
Tambahnya, Perdana Menteri Datu Seri Najib Tun Razak berusaha untuk mendapatkan semua pemimpin-pemimpin BN bagi memberi tumpuan kepada kerjasama dalam parti malah sedaya upaya menggabungkan pelbagai cadangan kepada satu cara dan strategi untuk mengukuhkan kembali sokongan rakyat.
"Konvensyen ini adalah untuk memberi tumpuan kepada situasi yang dihadapi oleh BN pada masa sekarang dan ia sesuatu perkara yang cukup baik,'' tambahnya.

No comments:

Post a Comment