Wednesday, December 8, 2010

Pehin Sri : Kakitangan awam perlu fikirkan cara menyumbang secara fleksibel, efektif

BPOby Rusnan Mustafa. Posted on December 7, 2010, Tuesday
KUCHING: Kakitangan perkhidmatan awam negeri ini perlu memikirkan cara bagaimana untuk mereka menyumbang dengan lebih fleksibel dan efektif dalam membantu rakyat.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang menegaskan demikian menjelaskan bahawa perkara sedemikian amat penting, yang berupaya menyumbang kepada keberkesanan perkhidmatan awam.
“Apabila perkhidmatan awam lebih fleksibel dan efektif, maka sebarang masalah akan dapat dihadapi dengan baik,” katanya berucap sempena Perhimpunan Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak 2010, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.
Menurut Taib, perkara menyukarkan dalam perkhidmatan awam ialah mendapatkan keyakinan rakyat untuk pelaksanaan pelan pembangunan.
Katanya, ia bukan sahaja berpunca daripada faktor populasi penduduk di Sarawak, tetapi juga kerana tiadanya sokongan daripada rakyat terhadap segala pembangunan yang dirancangkan.
“Oleh sebab itu, ingin saya sarankan para pegawai daerah kita supaya duduk bersama dengan rakyat di kedai kopi untuk bercakap dengan mereka dan anda akan menikmati pengalaman itu,” katanya.
Taib juga menyuarakan keyakinannya di mana prestasi memberangsangkan oleh perkhidmatan awam negeri ini akan membawa Sarawak kepada pencapaian ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020, selain menjadi negeri terkaya pada 2030.
Sempena Perhimpunan Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak 2010, Taib turut menyempurnakan pelancaran buku ‘Our Development Synergy Our Leader: Civil Service: Rakyat & Effective Meeting System’ (eMS).
Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan Anugerah Pegawai Contoh dan Pegawai Tokoh 2010.
Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri George Chan, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah, Speaker DUN Mohd Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Mohd Morshidi Abdul Ghani dan Pengarah Pembangunan Negeri Datuk Kamal Hussein.

No comments:

Post a Comment