Wednesday, December 8, 2010

Pehin Sri : Penghijrahan minda dituntut

BPOby Saibi Gi. Posted on December 8, 2010, Wednesday

Perubahan seiring tuntutan zaman dengan ilham-ilham baru perlu untuk memacu Sarawak dalam ekonomi berskala besar: Taib

BINTULU: Penghijrahan minda di kalangan rakyat membolehkan Sarawak memaksimumkan penyertaannya dalam ekonomi berskala besar di peringkat antarabangsa menerusi pelaksanaan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).
Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, minda rakyat yang berubah seiring dengan tuntutan zaman dan mempunyai ilham-ilham baru amat diperlukan dalam memacu pembangunan.
“Penghijrahan hari ini bukan dari bentuk fizikal sahaja tetapi ia membabitkan perubahan pemikiran dalam proses kita melaksanakan peranan lebih besar,” katanya pada majlis sambutan Maal Hijrah 1432H peringkat negeri di sini, semalam.
Hadir sama, Yang Dipertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datuk Daud Abdul Rahman.
Menurut beliau, SCORE merupakan gambaran terhadap usaha memajukan negeri ini yang memerlukan semua rakyat menyesuaikan diri dengan perubahan minda, terutama dari aspek keperluan tenaga kerja untuk menyokong kejayaannya.
Bintulu katanya, merupakan antara contoh terbaik pembangunan yang berteraskan semangat hijrah.
Dari sebuah perkampungan nelayan yang dihuni kira-kira 5,000 orang pada satu ketika dahulu, Bintulu kini berkembang pesat menjadi sebuah bandar pengeluar gas.
“Dahulu hanya bergantung dengan kegiatan penangkapan ikan tetapi sekarang ia menjadi tempat persinggahan kapal dari seluruh dunia yang mengangkut gas,” katanya.
Pembangunan Bintulu menurut beliau tidak akan terhenti di situ sahaja tetapi akan disusuli dengan industri peleburan aluminium yang terkandung dalam SCORE.
“Ini menunjukkan peralihan dialami Sarawak yang membabitkan penggunaan teknologi moden dalam mencapai kemajuan,” katanya sambil menyifatkan perubahan itu sebagai ‘penghijrahan istimewa’.
Sambil mengakui sumbangan rakyat bukan Islam terhadap kemajuan di negeri ini, beliau meminta mereka agar terus sama-sama menggembleng tenaga dan bersatu-padu.
“Sebab itu tokoh Maal Hijrah turut diberi kepada mereka bukan Islam. Ini adalah untuk mengiktiraf jasa mereka dalam sama-sama membangunkan negeri,” katanya.
Sementara itu, Daud berkata, asas kejayaan umat Islam adalah berteraskan taqwa.
Beliau bagaimanapun berkata, umat Islam perlu mengekalkan perpaduan dengan penganut agama lain agar wujud keselarasan dalam membangunkan negeri.
“Sarawak merupakan negeri contoh yang mengamalkan keseimbangan dalam hal-hal agama. Biarlah kita tidak melampau dan tidak kurang dalam mengamalkan ajaran agama,” katanya.

No comments:

Post a Comment