Jumlah ini jauh mengatasi kedatangan ke pameran yang sama di Sibu dan Betong: Dr Razali
KAPIT: Seramai 22,565 orang mengunjungi ruang pameran serta gerai jualan yang dibuka sepanjang Program Sejiwa Senada di sini yang berlangsung bermula Jumaat hingga Ahad lepas.
Pengarah Unit Pemantauan Pelaksanaan Negeri, Dr Razali Abon merangkap Pengerusi Bersama Pengelola berkata jumlah pengunjung yang bertandang ke ruang pameran sempena program Sejiwa Senada di Kapit melebihi Sibu dan Betong.
“Saya bangga dengan sambutan yang diberikan oleh penduduk Kapit sempena program kerajaan bersama rakyat ini dan secara tidak langsung kita dapat mengeratkan lagi interaksi di antara penjawat awam dan masyarakat setempat.
“Melalui program seperti inilah agensi kerajaan dapat mempromosikan program serta memperkenalkan perkhidmatan yang disediakan oleh agensi masing-masing kepada masyarakat setempat,” katanya semasa berucap di Majlis Penutupan Program Sejiwa Senada Bahagian Kapit di Dewan Suarah, di sini semalam.
“Saya yakin ramai penduduk setempat yang menggunakan kesempatan ini untuk menunjungi ruang pameran agensi kerajaan untuk mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan yang disediakan, malah untuk mengeluarkan sebarang pertanyaan mahupun pendapat atau kritikan membina kepada agensi kerajaan,” tambah beliau lagi.
Razali berkata kejayaan penganjuran program ini juga hasil kerja keras mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung sepanjang tiga hari program ini berlangsung.
“Saya melihat Kapit mempunyai ramai pelapis muda yang bertanggungjawab dan berdedikasi dalam menjalankan tugas mereka dan golongan ini merupakan bakal pemimpin di masa hadapan.
“Saya berterima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung di atas kerjasama yang diberikan sepanjang program ini berlangsung,” katanya.
Dalam pada itu, jumlah peserta yang menyertai e-peraduan mencatat jumlah yang tertinggi setakat ini berbanding tempat lain. Seramai 1,410 peserta menyertai e-peraduan.
Hadiah pertama berupa LCD TV berjaya dimenangi oleh Barang Empawi. Sembilan pemenang utama yang lain ialah Dubau Rabar, Daniel Muyan, Kong Kok In, Entang Jalan, Kaunselor Philimon Nuing, Kong Chiew Ing, Teo Ching Chai dan Kho Su Chen.
Hadir sama ialah Residen Kapit Dahim Nadot, Setiausaha Politik Ketua Menteri Wilson Nyabong, Pegawai Daerah Kapit Simon Japut Tiok dan Pegawai Daerah Song, Galong Luang serta ketua-ketua jabatan.
No comments:
Post a Comment