Friday, December 31, 2010

Kontraktor diminta patuhi perjanjian, kata Norah

BPO

TERIMA KASIH: Norah bersama dengan 31 orang penerima bantuan projek kecil pertanian dari kawasan Parlimen P.206 Tanjung Manis.

by Kepu Sidi. Posted on December 30, 2010, Thursday

Kontraktor kelas F harus jalankan kerja mengikut standard ditetapkan dalam perjanjian kerja kontrak

SARIKEI: Kontraktor terutama kontraktor kelas F yang terlibat dalam projek pembangunan di kawasan kampung harus menjalankan kerja mereka mengikut standard yang telah ditetapkan dalam perjanjian kerja kontrak.
Ahli Parlimen Tanjung Manis Datuk Norah Tun Abdul Rahman ketika menyatakan demikian berkata, mereka harus mematuhi perjanjian jika mahu nama baik mereka terjaga dan terus dapat berurusan dengan kerajaan.
Sehubungan itu, beliau meminta residen dan pegawai daerah memandang serius akan perkara itu dan mengadakan pemantauan serta tinjauan setiap masa.
“Sepanjang tahun ini saya banyak menerima rungutan dan laporan daripada masyarakat yang menyatakan bahawa standard kerja yang dijalankan oleh segelintir kontraktor tidak memuaskan serta berada di luar landasan perjanjian asal kontrak.
“Sehubungan itu saya menyeru kepada ketua masyarakat agar melaporkan secara langsung kepada pihak saya setiap perkembangan mana-mana projek yang sedang dijalankan.
“Dengan itu bermakna kita akan menerima dua laporan mengenai satu projek iaitu satu daripada jabatan kerajaan yang telah dilantik dan satu lagi daripada masyarakat di kawasan terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu Majlis Penyerahan Bantuan Projek Kecil Pertanian P.206 Tanjung Manis dan Majlis Penyerahan Sijil Pelantikan Tuai Rumah dan Ketua Kampung di Sri Nyelong Sarikei semalam.
Norah berkata mulai tahun depan pihaknya akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengadakan pemantauan, pemeriksaan dan tinjauan bagi setiap projek yang dijalankan.
“Perkara ini sangat penting bagi memastikan setiap perkara yang telah diamanahkan itu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan mengelakkan sebarang penyelewengan berlaku.
“Kepada ketua masyarakat pula, saya menegaskan agar anda jangan takut melaporkan setiap perkara yang betul kerana kerjasama daripada anda amat dialu-alukan,” katanya.
Tambahnya, mulai tahun depan beliau mahu setiap ketua masyarakat menyediakan profil kampung atau rumah panjang mengenai segala maklumat dan butiran terperinci penduduk di kawasan masing-masing dengan selengkapnya.
“Sebenar saya sudah lama memaklumkan kepada ketua masyarakat agar menyediakan profil mengenai kampung masing-masing, tetapi hingga saat ini masih banyak lagi yang belum menyerahkannya kepada saya.
“Profil ini amat berguna untuk mengadakan kajian dan penyelidikan mengenai setiap perkara dan masalah yang berlaku di sesebuah kampung.
“Bagi anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) pula, kita mahu ketua bahagian RELA menyediakan senarai jumlah sebenar anggota RELA di Tanjung Manis bagi memudahkan kita mengagihkan mereka dengan pakaian seragam bagi tahun depan,” tegas Norah.
Majlis tersebut dihadiri 31 penerima bantuan pertanian dan 32 ketua masyarakat dari kawasan Tanjung Manis.

No comments:

Post a Comment