Sunday, December 26, 2010

Kerajaan BN berjaya transformasi S’wak jadi negeri progresif maju

BPO 
Posted on December 25, 2010, Saturday
KUCHING: Kerajaan Barisan Nasional (BN) telah berjaya mentransformasikan Sarawak daripada negeri yang bergantung kepada hasil pertanian kepada sebuah negeri yang progresif maju yang akan menjadikannya sebagai salah satu daripada pemain ekonomi utama di Asia Tenggara.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata kerajaan negeri sentiasa aktif dalam mempelbagaikan dan memperluaskan dasar ekonomi supaya rakyat tidak bergantung kepada aktiviti ekonomi tradisional.
“Sarawak telah mencatatkan pertumbuhan ekonomi kira-kira 5.4 peratus pada 2010 yang melebihi ramalan peningkatan 4.5 peratus.
“Pertumbuhan ini ekoran daripada beberapa projek infrastruktur utama yang telah dilaksanakan oleh kerajaan dan sebahagian daripadanya adalah projek Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE),” katanya melalui perutusan sempena sambutan Hari Krismas 2010 dan Tahun Baru 2011 dalam kenyataan media yang dikeluarkan Khamis lepas.
Taib menjelaskan transformasi ekonomi akan menumpukan kepada peningkatan perkongsian dalam sektor kedua seperti aktiviti tambah nilai termasuk perkayuan dan produk pertanian dan juga sektor ketiga seperti komunikasi dan pengangkutan.
Namun paling penting kata beliau, adalah transformasi harus melibatkan kewujudan sumber baru dalam pertumbuhan ekonomi.
Dalam perkara berkenaan ujarnya kerajaan negeri akan melakukan usaha gigih untuk memperluaskan asas dan kepelbagaian ekonomi.
“Pada saat ini apa yang kita paling tekankan adalah dalam pembangunan SCORE bagi memajukan pelbagai industri dI lima kawasan utamanya iaitu Tanjung Manis, Samalaju di Bintulu, Ulu Baram dan Tunoh di Kapit.
“Inisiatif SCORE ini akan merangkumi kawasan yang besar iaitu 320 kilometer persegi dan pembangunan berkenaan akan kita capai menjelang 2030,” katanya.
Melaluinya kerajaan negeri kata Taib, akan memastikan pertumbuhan berkenaan terus mapan dan ia akan memberi manfaat dari segi kekuatan ekonomi, peluang pekerjaan yang banyak, pendidikan terbaik dan kemudahan kesihatan dan pemantauan rapi bagi memastikan kesan alam sekitar dipelihara.
Malahan bagi melangkah terus ke arah mentransformasikan Sarawak, kerajaan negeri juga menekankan mengenai pembangunan modal insan berkualiti yang memiliki kemahiran dan pengetahuan tinggi untuk industri.
Katanya sejak kemerdekaan, Sarawak telah berjaya melangkah ke hadapan bagi mencapai kemajuan dan kemodenan.
“Masyarakat kita menikmati kehidupan yang baik, keluar daripada kemiskinan dan halangan serta mendapat faedah daripada pembangunan politik.
“Namun apa yang paling penting adalah rakyat telah membangun dari segi minda ‘self-help’, bekerja untuk memperbaiki diri daripada situasi menunggu untuk mendapatkan bantuan atau kerajaan,” tegasnya.
Beliau menyifatkan ia merupakan perubahan penting bagi membolehkan rakyat Sarawak mengekalkan standard kehidupan yang memberi faedah dalam sebuah negara yang merdeka.
Katanya pada 1963, negeri ini telah menyaksikan hanya 4,000 kenderaan yang didaftarkan di jalan raya namun pada hari ini ia setengah juta, tidak termasuk motosikal.
Selain itu Sarawak telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan yang membelenggu rakyat sejak 1963.
Kadar kemiskinan telah berjaya dikurangkan hampir 80 peratus pada awal tahun 60-an kepada tujuh peratus kini.
Beliau berkata dengan perkara itu ia harus mengubah persepsi dunia bahawa Malaysia bukan lagi negara miskin atau sedang membangun, kerana Malaysia boleh dikatakan negara membangun awal daripada tahun 2020.
“Untuk ini masyarakat seharusnya berasa bertuah sebagai rakyat Sarawak dan warga Malaysia kerana mereka dapat menikmati kemajuan dan kesejahteraan yang dibawa oleh kerajaan Barisan Nasional yang dinamik dalam membina negara yang stabil dan harmoni.
“Kemajuan hebat ini membolehkan rakyat bebas dan berkemampuan untuk menentukan masa depan mereka,” katanya.
Namun kata Taib rakyat juga harus mempertimbangkan aspirasi generasi baru, kerana mereka yang akan menerajui negara, bukan sahaja hanya menikmati makanan untuk dimakan, pakaian untuk dipakai, rumah untuk tinggal tetapi lebih daripada itu.
Generasi muda katanya perlu memainkan peranan mereka sendiri dan mereka harus bekerja gigih untuk menaik taraf kemahiran profesional mereka dan kebolehan serta pengetahuan bagi membolehkan mereka menyumbang secara positif ke arah pembangunan negeri terutamanya peluang dalam SCORE.
Beliau dalam pada itu yakin Sarawak menjadi lebih maju dan sejahtera menjelang 2030 sekiranya sumber tenaga negeri ini  dieksploitasikan sepenuhnya.
Ia katanya, melibatkan nilai bilion ringgit pelaburan kepada Sarawak dan ia akan menjadikan negeri ini terus mencapai kestabilan politik dan keberkesanan kerajaan dengan perpaduan rakyat.
“Saya dengan ini mengucapkan kepada semua rakyat Malaysia khasnya mereka yang beragama Kristian di Sarawak Selamat Hari Krismas dan Selamat Tahun Baru,” katanya.

No comments:

Post a Comment