Saturday, December 11, 2010

Kerusi Bidayuh kubu kuat BN

BPO
by Jessica Jawing. Posted on December 11, 2010, Saturday Manyin yakin enam kerusi Bidayuh akan dimenangi dengan majoriti besar pada pilihan raya akan datang


MEMENUHI STANDARD: Manyin (dua kanan) dan Dr Tiki (dua kiri) menyaksikan penyampaian sijil ISO 9001:2008, kepada pengusaha PLKN Kem Putra Sentosa Henry (kiri) daripada Tang.
KUCHING: Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong yakin bahawa enam kerusi Bidayuh akan dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) dengan majoriti besar pada pilihan raya akan datang.
Beliau yang juga penasihat Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) menjelaskan ini kerana masyarakat Bidayuh kini menerima konsep bahawa pemimpin mereka adalah mewakili BN dan bukan mewakili parti politik.
“Sejak dahulu lagi kita bukan sahaja menang (dalam pilihan raya) malahan menang majoriti besar, ini kerana saya merasakan konsep kita mewakili Barisan Nasional telah diterima oleh masyarakat Bidayuh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis penyampaian sijil ISO 9001:2008 kepada pengusaha Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Putra Sentosa yang turut dihadiri pengusaha kem Henry Harry Jinep dan wakil ACS Certification-ISO 9001:2008 Robert Tang dan Pengerusi Majlis PLKN Datuk Dr Tiki Lafe di sini, malam kelmarin.
Manyin menjelaskan Bidayuh merupakan salah satu daripada komuniti kecil yang terbahagi kepada beberapa parti politik seperti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) malahan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Namun katanya kaum itu amat bernasib baik kerana ada BN di mana majoriti daripada pemimpin politik Bidayuh adalah terdiri daripada ahli BN.
“Kami (pemimpin politik BN) telah berbincang bersama dan bersetuju antara satu sama lain apabila berkempen atau tidak atau menganjurkan ceramah kami hanya menyatakan bahawa kami mewakili lambang Barisan Nasional bukan parti politik.
“Konsep itu telah pun diterima oleh kira-kira 200,000 masyarakat Bidayuh seluruh negeri dan ia telah diamalkan lebih 10 tahun yang lalu yang membawa kepada kemenangan majoriti kepada kami,” katanya juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tebedu.
Justeru dengan itu beliau percaya dan yakin kerusi Bidayuh menang majoriti lebih besar pada kali ini (pilihan raya akan datang).
Mengulas mengenai kemungkinan calon bebas yang ingin mewakili BN beliau menyatakan: “Kita tidak akan beri laluan kepada calon bebas… malahan Ketua Menteri sendiri telah menyatakan bahawa tidak ada lagi calon bebas yang akan diterima… jadi kami tidak akan beri laluan.”
Beliau yang turut merasakan pilihan raya akan datang bukan sahaja diadakan di peringkat negeri tetapi juga pilihan raya umum berharap ia dapat diadakan serentak.
“Kita cuma berdoa sahaja kerana segala keputusan di peringkat negeri akan dibuat oleh Ketua Menteri dan ia adalah hak istimewa beliau (KM) begitu juga sama ada pilihan raya umum diadakan serentak dengan negeri ia merupakan keputusan Perdana Menteri.
“Tidak ada individu yang boleh membuat keputusan ini, kita cuma berharap dan berdoa sahaja,” tegasnya.
Ditanya mengenai kenyataan ADUN Kedup Frederick Bayoi Manggie baru-baru ini, Manyin berkata ia adalah pendapat peribadi masing-masing.
“Saya tidak boleh bercakap bagi pihaknya, itu merupakan pendapat peribadi beliau (Bayoi) tetapi bagi saya siapa yang bertanding bukan masalahnya tetapi yang penting adalah lambang Barisan Nasional,” ujarnya.
Bayoi baru-baru ini dipetik sebagai berkata, beliau menyerahkan segalanya kepada pucuk pimpinan PBB untuk meletakkan calon bagi mempertahankan kerusi di kawasan itu pada pilihan raya akan datang.

No comments:

Post a Comment