Monday, December 13, 2010

Pehin Sri - Derita Penduduk Pulau Bruit Dirasai

Oleh : Amy Johari
Kuching :- Penderitaan penduduk di Pulau Bruit dalam kawasan Parlimen Tanjung Manis termasuk masalah kesihatan bukan cerita baru dan ia mendapat perhatian Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Ketika hadir dalam majlis makan malam ulangtahun ke-100 Perkhidmatan Kesihatan di Sarawak yang berlangsung di Kompleks Dewan Undangan Negeri di Petra Jaya malam tadi, Taib meminta bantuan Jabatan Kesihatan untuk mengurangkan penderitaan penduduk dengan mengadakan program kesihatan seperti yang dilakukan sebuah hospital swasta di Kuching baru-baru ini.
“Saya memohon kepada anda (Jabatan Kesihatan) untuk memberikan bantuan kesihatan pada kadar segera kepada penduduk Pulau Bruit”, kata Taib sambil menambah Kerajaan Negeri akan memberi bantuan kewangan.
Beliau berkata kebanyakkan penduduk Pulau Bruit adalah orang miskin yang bekerja sebagai nelayan.
“Diet harian terutama dalam musim tengkujuh adalah ikan masin dan tidak hairanlah ramai di kalangan penduduk mengidap penyakit darah tinggi, kekurangan zat makanan dan katarak (penyakit mata)”, katanya lagi.
Dari segi pembangunan pula, Pulau Bruit belum dapat dimajukan lagi sehingga projek Pelabuhan Laut Dalam Tanjung Manis beroperasi sepenuhnya dalam tempoh tiga hingga lima tahun dan ini menambahkan lagi penderitaan penduduk yang selama ini memang dahagakan kemajuan.
Sementara itu, Taib meminta Kementerian Kesihatan supaya merangka program kesihatan yang lebih sesuai dengan keadaan geografi di Sarawak.
“Cadangan menubuhkan sebuah hospital di setiap daerah memang baik dan mudah dilaksanakan di Semenanjung Malaysia namun tidak begitu praktikal di Sarawak”, ujar nya sambil menambah negeri ini mempunyai 31 daerah dengan penduduk tinggal bertaburan terutama di luar bandar.
Kos untuk membina hospital atau menempatkan pegawai kesihatan di setiap daerah dan daerah kecil juga amat tinggi dan mungkin tidak ramai penduduk luar bandar dapat memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan ini.
“Bilangan doktor juga tidak mencukupi iaitu 900 orang doktor kerajaan dan 300 orang doktor swasta”, kata Taib.
Sehubungan itu kaedah menggunakan Perkhidmatan Doktor Udara lebih praktikal dan efektif dalam menyediakan khidmat kesihatan kepada penduduk pedalaman selain melaksanakan program Klinik Bergerak seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.
Mengenai cadangan pembinaan hospital baru di Kuching, Taib berkata ia akan dibina di Bandar Baru Samariang kerana lokasinya yang strategik dan kepadatan penduduk agak tinggi.

1 comment:

  1. Dari segi pembangunan pula, Pulau Bruit belum dapat dimajukan lagi sehingga projek Pelabuhan Laut Dalam Tanjung Manis beroperasi sepenuhnya dalam tempoh tiga hingga lima tahun dan ini menambahkan lagi penderitaan penduduk yang selama ini memang dahagakan kemajuan.

    taib2 dah 15 tahun warga Pulau Brit menderita... ni nk tmbh 3/5 tahun lagi....
    kesian org Pulau Bruit...
    Besalah kalau tiada kepentingn perniagaan 'mereka'disana 'mereka' akan tutup mata...
    sapa bilang taib majukan org melanau sahaja...
    tgk org Pulau Bruit yang didiami 90% atau lebih org melanau masih dalam paras kemiskinan tegar...taib oh taib...

    ReplyDelete