Sunday, December 12, 2010

Bumiputera Sarawak harus pertahan hak ‘keistimewaan’ yang diperuntukan: Naroden

BPO

Posted on December 11, 2010, Saturday
SIMUNJAN: Masyarakat Bumiputera di Sarawak diminta mempertahankan hak keistimewaan mereka yang telah diperuntukkan dalam perlembangaan selama ini.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan) Mohd Naroden Majais berkata, pihak pembangkang pada masa kini berusaha untuk menggugurkan hak istimewa tersebut.
“Pembangkang ada objektif tersendiri di mana mereka mahu menggugurkan Artikel 153 Perlembangaan Persekutuan yang memberi keistimewaan kepada kaum Melayu di Semenanjung dan Bumiputera di Sarawak dan Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis penyerahan watikah pelantikan ketua kaum dan pengagihan cek geran projek kecil luar bandar (MRP) bagi kawasan Simunjan di Dewan Kampung Tinting Tuba, Simunjan malam kelmarin.
Tambahnya, keistimewaan itu termasuk bantuan pendidikan anak-anak, bantuan pertanian, usahawan, subsidi dan banyak lagi.
“Kalaulah ia (Artikel 153) digugurkan bererti mereka mengugurkan keistimewaan yang kita miliki selama ini.
“Jika tiada lagi artikel itu, kita sebagai Bumiputera jangan lagi mimpi untuk minta bantuan ibu tunggal, anak sekolah, tekun, bantuan pertanian dan sebagainya,” jelasnya.
Justeru, beliau menegaskan artikel itu amat penting untuk Bumiputera perjuangkan dan mempertahankannya daripada digugurkan.
“Pihak kerajaan selama ini bekerja keras untuk memperjuangkan dan mempertahankan keistimewaan ini daripada terus dicabul oleh pihak pembangkang,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar rakyat di negeri ini terus menyokong kerajaan bagi memastikan perjuangan dalam mempertahankan hak istimewa itu dapat dikekalkan.
Hadir sama Temenggung Bahagian Samarahan Anthony Nyipa, wakil Pejabat Daerah Simunjan Danny Lansdale Lejau, ketua-ketua kaum dan tetamu kehormat lain.

1 comment:

  1. bena kata yb ya,tapi rumah nya mcm istana jak ha ha ha ahakkkkssssss

    ReplyDelete