Tuesday, January 11, 2011

Wan Junaidi: Ahli PBB jarang derhaka

 
Dhia Daniel | January 9, 2011
Ahli PBB tidak mungkin menderhaka walaupun tidak dicalonkan
KUCHING: Ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tidak mungkin menderhaka atau berpaling tadah walaupun mereka tiada lagi berada dalam parti sama ada kerana tidak dicalonkan atau berundur dari arena politik dalam mendepani pilihan raya akan datang.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, PBB yang merupakan tunjang utama kekuatan Barisan Nasional (BN) Sarawak memiliki ahli-ahli yang berjiwa tulen dalam memperjuangkan matlamat parti berbanding kepentingan peribadi.
Beliau berkata, cara pengurusan parti yang bijak oleh presiden yang juga ketua menteri Tan Sri Taib Mahmud membuatkan mana-mana calon yang tidak disenarai bertanding dalam pilihan raya jarang berlaku dalam sejarah PBB selama ini.
“Pimpinan parti memberi masa yang cukup lama kepada calon atau isyarat kepada mereka yang tidak dicalonkan dalam pilihan raya beserta dengan alasan munasabah, justeru calon yang terlibat tidak berasa tersinggung mahupun berkecil hati.
“Jarang berlaku dalam PBB ahlinya menderhaka kepada parti sehingga sanggup mensabotaj perjuangan parti kerana keputusan tidak mencalonkan semula ini dibuat secara terperinci bukan dalam tempoh singkat,” katanya.
Ahli Parlimen Santubong itu diminta mengulas mengenai kenyataan Datuk Haji Wan Wahab Wan Sanusi yang berhasrat tidak lagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sadong Jaya dalam pilihan raya akan datang ketika ditemui semalam.
Dr Junaidi tidak menolak kemungkinan parti pembangkang akan menggunakan situasi itu sebagai peluang untuk mereka menghasut rakyat kononnya parti bertindak kejam terhadap pemimpin.
“Saya sendiri pernah ditugaskan untuk ‘mententeramkan’ keadaan dalam parti pada suatu ketika bagi mengelak perpecahan berlaku akibat ‘permainan’ pembangkang,” tegasnya.
Berikutan itu, beliau menasihatkan calon yang tidak lagi bertanding dalam pilihan raya akan datang supaya ‘turun padang’ membantu calon BN bagi mengelak spekulasi negatif yang sengaja dibangkitkan oleh pembangkang.

No comments:

Post a Comment