Wednesday, January 12, 2011

Facebook, Twitter pilihan utama kempen pilihan raya


Posted on January 11, 2011, Tuesday
KUCHING: Kempen bagi pilihan raya negeri akan datang dijangka hangat dan bakal menyaksikan penggunaan Internet khususnya media sosial secara agresif.
Aktivis media Sean Ang berkata, impak media elektronik yang penggunaannya semakin popular, tidak harus dipandang rendah kerana kesannya dapat disaksikan pada pilihan raya kecil di Sibu yang lalu.
“Berdasarkan pemerhatian pada pilihan raya kecil yang lepas, saya jangka 60 peratus kempen bagi pilihan raya negeriakan datang akan menggunakan media sosial, khasnya di kawasan-kawasan bandar,”katanya ketika ditemui pemberita pada ceramah mengenai ‘Facebook dan Twitter – Trend dan Ancamannya’ di sini, kelmarin.
Ang yang juga Pengarah Eksekutif untuk Pusat Asia Timur untuk e-Media (SEACEM) berkata, kenaikan pihak pembangkang sejak beberapa tahun ini adalah disebabkan Internet, khasnya blog.
Katanya, ramai kalangan ahli politik kini yang mempunyai blog malah turut menyertai laman web rangkaian sosial seperti Facebook.
Menurut Ang, e-media bukan sahaja mempunyai impak terhadap kehidupan sosial masyarakat malah kepentingannya dalam dunia politik juga tidak dinafikan.
“Kita juga boleh mengikuti perkembangan mereka dalam Facebook dan melihat pendirian mereka mengenai sesuatu isu atau perkara,” katanya. Beliau memberitahu, ramai yang menggunakan media sosial untuk menerima dan menyebarkan maklumat.
Ditanya mengenai kredibiliti laman media sosial ahli politik, Ang memberitahu berdasarkan pemerhatiaannya, 95 peratus daripadanya adalah tulen.
Bagaimanapun, beliau menambah: “Ia bergantung kepada ahli politik itu sendiri. “Mereka sendiri yang menentukan tahap kredibiliti mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment