Wednesday, January 26, 2011

Pilihan raya serentak: Jimat kos, peluang BN cerah - Naroden Majais


Dhia Daniel | January 25, 2011
Pilihan raya serentak beri kesan positif kepada BN sama ada di peringkat negeri atau persekutuan.
KUCHING: “Pilihan raya umum dan negeri, jika di adakan serentak, memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN),” kata Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Haji Mohd Naroden Majais.

Beliau berkata, secara peribadi, saya merasakan ia memberi kesan positif kepada BN sama ada di peringkat negeri atau persekutuan selain menjimatkan kos, masa dan tenaga serta kekangan lain.
“Apa pun, semua pertimbangan itu terletak di tangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sudah pastinya juga ada ‘ilhamnya’ sendiri mengenai pilihan raya umum dan negeri Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Sehenti Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) di Kompleks Pelancongan Sarawak di sini hari ini sebagai mengulas kenyataan Ketua Menteri Tan Sri Taib Mahmud yang mahu berunding berhubung hal berkenaan.
Hadir sama, Pengurus Besar (Pemufakatan) Gabem, Nor Rashid Ismail.
Naroden yang juga Menteri Muda Perancangan dan Pengurusan Sumber serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Simunjan itu turut berpendapat, manfaat lain termasuk memastikan Sarawak sebagai ‘simpanan tetap’ untuk BN terus dipertahankan.
“Bererti (kalau serentak), tumpuan parti pembangkang ke Sarawak dapat dikurangkan kerana sibuk berkempen untuk kawasan Parlimen dan Dun di negeri masing-masing,” jelasnya.
Menurutnya, Pusat Sehenti Gabem (PSG) yang ditubuhkan susulan daripada permohonan usahawan Bumiputera mengenai agensi yang berperanan membantu mereka patut diletakkan di bawah satu bumbung.
Beliau berkata, agensi bertanggungjawab membantu usahawan Bumiputera yang masih ‘berselerak’ menyebabkan ramai usahawan gagal mendapatkan maklumat tentang peluang-peluang yang disediakan oleh kerajaan.
“Justeru, kerajaan negeri merancang untuk menempatkan lebih 30 agensi yang berperanan membantu usahawan Bumiputera di bawah satu bumbung di bandar raya ini sebelum diperluaskan ke bandar-bandar lain di Sarawak,” katanya sambil menambah, lokasinya sedang dikenal pasti.

No comments:

Post a Comment