Monday, January 24, 2011

PRS Sedia Gempur Alam Siber - Masing


KAPIT, 23 Jan (Bernama) — Parti Rakyat Sarawak (PRS), sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) negeri berharap dapat mengadakan laman webnya sendiri menjelang bulan depan.

Presidennya Datuk Sri Dr James Jemut Masing berkata ia kini merupakan alat penting bagi mendekati golongan profesional di alam siber.
“Banyak perkara yang berlaku dalam pergerakan politik, maklumat dan perdebatan yang sedang berlangsung di alam siber.
“Kita memerlukannya (laman web) bagi menangani penipuan, membetulkan salah faham, menghilangkan fitnah dan dakwaan. Kita juga memerlukannya bagi memaklumkan kepada anggota parti mengenai perkembangan terbaru di dalam PRS dan begitu sebagai medium galakan parti,” katanya kepada Bernama di sini.
Semalam, Masing yang juga Menteri Kemajuan Tanah Negeri mempengerusikan mesyuarat rutin majlis tertingginya sebelum berucap di hadapan 700 anggota di satu majlis makan malam di sini, malam tadi.
Katanya beliau menyerahkan perkara itu kepada anggota belia parti itu supaya mencipta dan mengemukakan satu laman web, dalam masa dua minggu.
Sementara itu, beliau berkata parti itu akan mencalonkan hanya mereka yang mampu membawa kemenangan bagi mempertahankan sembilan kerusi yang ditandingi parti itu pada pilihan raya negeri akan datang.
“Hanya PRS berhak untuk mencalonkan calon bagi kerusi-kerusi ini. Orang lain sepatutnya tidak campur tangan sama ada dari rakan parti politik BN, individu atau penjawat awam,” katanya.
Beliau berkata ada satu pihak yang cuba mengelirukan anggota parti dan pengundi bagi mempengaruhi pemilihan itu.
Masing berkata parti itu telah mengenal pasti calon-calon bagi kerusi Pelagus dan Ngemah di mana usaha melobi sedang giat dijalankan oleh individu yang menawarkan diri sendiri.
Kerusi Pelagus kini disandang oleh Larry Sng Wei Shien, penyandang bagi dua penggal dan menteri muda di Pejabat Ketua Menteri.
Bagaimanapun, Sng telah dipecat kerana ingkar peraturan dalaman parti manakala parti itu hilang kerusi Ngemah kepada wakil bebas, Gabriel Adit Demong, pada pilihan raya lalu.
Selepas bersepakat dengan PKR selama setahun, Adit meninggalkan parti itu untuk menyertai Parti Cinta Malaysia tahun lepas, di mana beliau kini merupakan pengerusi negeri.
Masing berkata terdapat calon kuat menawarkan diri merela bagi kerusi Ngemah.
Kerusi parti itu yang lain ialah Balleh, Belaga, Tamin, Kakus, Bukit Begunan, Balai Ringin and Batang Ai.
Bagi mempertahankannya, PRS dijangka akan dicabar oleh beberapa parti pembangkang seperti SNAP(Parti Kebangsaan Sarawak) PKR dan PCM. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment