Sunday, January 9, 2011

SUPP tidak berhasrat melebarkan sayap ke Semenanjung Malaysia


Posted on January 8, 2011, Saturday
KUCHING: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan semalam menegaskan bahawa parti itu tidak berhasrat untuk melebarkan sayapnya ke Semenanjung Malaysia kerana ia parti politik yang berpangkalan di Sarawak.
Beliau berkata demikian sebagai menjawap soalan diajukan kepadanya iaitu sama ada parti itu berhasrat membuka cawangannya di Semenanjung Malaysia semasa beliau mempengerusikan sidang akhbar berhubung Konvensyen SUPP 2011 di sini, semalam.
“Belum lagi… Kami mahu mengukuhkan lagi parti terlebih dahulu sebelum mahu melangkah ke barat,” katanya.
Dr Chan yang juga Timbalan Ketua Menteri memberitahu tanggapan ramai pihak yang mengatakan SUPP hanya parti (komuniti) Cina adalah tidak benar kerana parti berkenaan turut dianggotai Bumiputera dengan 30 peratus daripada ahlinya adalah Bumiputera.
“Ramai orang berfikir kami (SUPP) parti Cina… kami tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti itu.
“Sebaliknya SUPP ada empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada kaum Bumiputera dan seorang Ahli Parlimen.
“Meskipun rata-rata konstituensi kami adalah di kawasan bandar, kami juga ada beberapa kerusi Bumiputera.
“Lebih penting kami turut berjuang untuk NCR ( tanah Hak adat Bumiputera),” ujarnya.
Empat ADUN Bumiputera daripada SUPP yang dimaksudkan Dr Chan ialah  Ranum Mina (Opar), Dr Jerip Susil (Bengoh), Dr Johnical Rayong Ngipa (Engkilili) dan Datuk Francis Harden Hollis (Simanggang). Manakala Datuk Richard Riot adalah Ahli Parlimen Serian.
Dr Chan memberitahu bahawa SUPP turut mewakili Bumiputera di negeri ini kerana beberapa isu berkaitan (Bumiputera) dibangkitkan setiap kali mesyuarat kabinet negeri.
“Semasa mesyuarat kabinet saya sering membangkitkan isu berkaitan NCR di kawasan bandar. Kami bercakap mengenai ‘satu rakyat’ dan SUPP adalah parti pelbagai kaum.
“Walaupun majoriti kerusi SUPP di kawasan bandar, kami turut menjaga kepentingan semua rakyat Sarawak,” ulangnya.
Setakat ini katanya, SUPP mempunyai kira-kira 120,000 ahli berdaftar termasuk daripada kalangan Bumiputera.

No comments:

Post a Comment