Saturday, January 22, 2011

Sarawak ukur tanah NCR seluas 377,000 hektar

 
KUCHING, 21 Jan (Bernama) — Jabatan Tanah dan Survei Sarawak akan meneruskan usaha mengukur tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di 107 kawasan yang dikenalpasti dalam tempoh dua tahun, bermula tahun ini
Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II Sarawak Datuk Awang Tengah Ali Hasan berkata kerajaan persekutuan telah memperuntukkan sejumlah RM60 juta kepada Sarawak untuk mengukur tanah NCR seluas 377,000 hektar yang telah
dikenalpasti bagi kerja pengukuran perimeter tanah itu.

“Kerja pengukuran tanah NCR ini merupakan satu usaha berterusan kerajaan untuk memberi jaminan pemilikan tanah NCR agar ia dapat dibangunkan secara komersial dan memanfaatkan pemiliknya,” katanya dalam Program Bicara Rakyat yang
disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) TV1.
Tahun lepas kerajaan persekutuan memperuntukkan RM20 juta bagi melaksanakan insiatif mengukur tanah NCR yang membabitkan 27 kawasan dengan keluasan kira-kira 22,000 hektar. Dianggarkan terdapat 1.5 juta hektar tanah NCR di
Sarawak.
Awang Tengah yang juga Menteri Kemudahan Awam berkata Empangan Elektrik Hidro Bakun (2,400MW apabila semua lapan turbin siap pada tahun 2012) dan Empangan Murum (944MW dijangka siap pada tahun 2013) bakal mewujudkan harga elektrik yang lebih stabil dan kompetitif di Sarawak.
Beliau berkata kadar tarif elektrik di Sarawak kini ialah 25 sen per kilowatt-jam berbanding 29 sen per kilowatt-jam di Semenanjung Malaysia.
“Dengan adanya Empangan Elektrik Hidro Bakun dan Empangan Murum, Sarawak bakal menarik lebih ramai pelabur asing, khususnya industri berat ke negeri ini,” katanya.
Mengenai permintaan untuk meningkatkan pembayaran royalti minyak dari lima peratus kepada 20 peratus, Awang Tengah berkata kerajaan negeri telah membuat permintaan dengan kerajaan persekutuan.
Sementara itu, Awang Tengah menyelar politik pembangkang yang dayus kerana sanggup mempolitikkan sesuatu isu tanpa mengambil kira kepentingan masyarakat umum.
Beliau yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Sari di Bahagian Lawas, berkata sebagai contoh projek loji rawatan air di Lawas yang harus dilaksanakan untuk meningkatkan kualiti air di kawasan itu kini tergendala
berikutan hasutan pihak yang tidak bertanggungjawab.
Selain itu, Awang Tengah berkata Koridor Tenaga Diperbaharuhi Sarawak (Score) turut dipolitikkan dengan mendakwa ia tidak memanfaatkan penduduk di kawasan luar bandar.
Beliau menjelaskan pelaksanaan Score telah menarik pelaburan asing dan pada masa sama ia menjana peluang pelkerjaan kepada penduduk tempatan yang sekaligus akan memberi peluang peniagaan dan meningkatkan pendapatan penduduk.
“Score akan memberi impak besar dalam pertumbuhan ekonomi Sarawak dalam jangka masa panjang. Dijangka Score akan mewujudkan 1.6 juta peluang pekerjaan menjelang tahun 2030,” katanya. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment