Saturday, January 15, 2011

Tingkatkan ilmu pengadilan


Posted on January 13, 2011, Thursday
FAS yakin pengadil Sarawak adili perlawanan Piala Dunia suatu hari nanti: Haidel
KUCHING: Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) menyarankan agar pengadil di negeri ini memperlengkapkan diri mereka dengan ilmu pengadilan yang tinggi sekali gus berpeluang untuk mengadili perlawanan bola sepak peringkat dunia pada masa akan datang.

Naib Presiden FAS Ir Haidel Heli berkata, ilmu pengadilan yang tinggi serta karisma yang mantap merupakan ciri-ciri penting untuk membantu seseorang pengadil melangkah jauh dalam bidang pengadilan bola sepak.
Dengan demikian, katanya, mutu pengadilan yang diadili akan lebih berkesan dan mampu mengawal apa juga perlawanan yang disifatkan sebagai ‘panas’ atau ‘genting,’ terutamanya perlawanan akhir.
“Kita (FAS) berharap pengadil-pengadil di negeri ini dapat meningkat diri dalam ilmu pengadilan dengan mengikuti program-program yang dirancang dan akan dilaksanakan oleh badan induk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan kerjasama FAS,” ujarnya ketika mengadakan pertemuan dengan barisan pengadil Sarawak Bahagian Kuching dan Samarahan semalam.
Haidel yang juga merupakan Pengerusi Pengadil Sarawak berkata, FAS akan memastikan pengadil-pengadil dari negeri ini menjadi antara pengadil yang diiktiraf oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk mengadili perlawanan bertaraf Piala Dunia pada masa akan datang.
“Insya Allah, FAS yakin bahawa suatu hari nanti, akan ada di kalangan pengadil dari Sarawak yang berjaya mengadili perlawanan Piala Dunia. Bagaimanapun, mereka (pengadil) mestilah bersedia meningkatkan diri dengan ilmu pengadilan yang tinggi bermula dari sekarang,” tambah beliau.
Seramai 70 orang pengadil hadir pada sesi pertemuan tersebut yang membabitkan pengadil peringkat negeri dan Persatuan Pengadil Sarawak (SAFRA) yang diketuai oleh pengasasnya, Awang Mahyan Awang Mohamad.
Dalam pada itu, Haidel berharap agar pengadil-pengadil di negeri ini merebut peluang untuk mengikuti program-program yang akan dilaksanakan bermula 20 Januari ini bertujuan untuk memantapkan mutu pengadilan menjelangnya kejohanan Liga Bahagian di seluruh negeri pada 12 Februari depan.
“FAS menjemput semua pengadil tidak kira dari mana persatuan yang diwakilinya hadir pada program-prorgam pengadilan yang akan diadakan nanti.
“Tujuannya ialah agar mereka (pengadil) dapat memantapkan lagi mutu pengadilan pada perlawanan-perlawanan yang akan diadilinya nanti,” katanya.
Turut hadir pada sesi pertemuan tersebut ialah Pegawai Pembangunan Pengadil Sarawak, Marsyid Dahlan.

No comments:

Post a Comment